
PETALING JAYA: Tiga kumpulan masyarakat sivil menggesa parti politik tidak melibatkan kanak-kanak dalam kempen pilihan raya susulan penyebaran beberapa video didakwa menunjukkan mereka disuruh melaungkan slogan dan mengajak orang ramai mengundi.
Voice of the Children, Children’s Protection Society Malaysia dan G25 Malaysia berkata bahan itu membabitkan pemimpin serta petugas kempen Pakatan Harapan (PH) dan DAP ketika kempen PRN Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, mereka berkata prinsip sama perlu dipatuhi semua parti politik dan calon.
Menurut mereka, Malaysia menyertai Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1995, manakala jawatankuasa yang memantau pelaksanaannya memberi amaran supaya orang dewasa tidak memperalatkan kanak-kanak dengan cara sedemikian.
“Kanak-kanak yang mengulangi slogan atas arahan orang dewasa bukan sedang menyuarakan pandangannya. Suara mereka sebenarnya dieksploitasi,” kata kumpulan itu dalam kenyataan.
NGO berkenaan berkata kanak-kanak belum mampu menilai prestasi kerajaan, memahami manifesto atau menghayati sepenuhnya maksud mesej politik yang diminta mereka ulangi.
Mereka turut membangkitkan kebimbangan mengenai privasi kanak-kanak kerana video yang dimuat naik boleh kekal dalam talian selama bertahun-tahun dan menyebabkan mereka terus dikaitkan dengan pendirian politik yang bukan pilihan mereka.
Kanak-kanak terbabit juga mungkin menjadi sasaran kecaman dan serangan yang sering ditujukan terhadap kandungan politik dalam talian.
Kumpulan itu berkata kebenaran ibu bapa tidak menyelesaikan masalah kerana kesan jangka panjang akan ditanggung oleh kanak-kanak berkenaan, yang mungkin mempunyai pandangan politik berbeza apabila dewasa.
Mereka menggesa PH dan DAP menarik balik bahan tersebut serta berjanji tidak lagi menggunakan kanak-kanak dengan cara sama sepanjang baki tempoh kempen.
Mereka turut meminta semua parti politik lain memberikan komitmen serupa.
Kumpulan itu juga menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya memperkenalkan peraturan jelas yang melarang penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti dan bahan kempen, tanpa menghalang mereka daripada menemani ibu bapa ke acara politik.
“Kanak-kanak tidak boleh mengundi, tidak mampu memberi persetujuan dan tidak boleh menarik diri. Mereka tidak sepatutnya diminta berkempen,” katanya.
