Dalam musim pilihan raya, hampir setiap detik diatur dengan teliti.
Jadual kempen disusun padat, ucapan dipersiapkan, mesej diperhalusi dan setiap penampilan dirancang bagi meyakinkan pengundi.
Namun, ada kalanya satu peristiwa yang tidak dirancang mampu menceritakan lebih banyak tentang watak seorang pemimpin daripada puluhan ceramah dan ratusan poster kempen.
Demikian yang berlaku apabila calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Lenggeng Asna Amin, menghentikan kenderaannya untuk membantu seorang lelaki dan seorang wanita yang terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan menghadiri program kempen baru-baru ini.
Dalam keadaan cemas, beliau menggunakan bendera parti sebagai balutan sementara pada tangan mangsa sebelum bantuan lanjut tiba.
Video kejadian yang dimuat naik di akaun TikTok rasminya melepasi dua juta tontonan, belum termasuk perkongsian semula di platform lain dan terpilih sebagai berita utama di Google pada hari tersebut.
Namun, perhatian masyarakat bukan tertumpu kepada jumlah tontonan, sebaliknya kepada tindakan spontan yang mendahulukan keselamatan mangsa berbanding jadual kempen.
Dalam politik, persepsi boleh dibina melalui strategi komunikasi, tetapi nilai sebenar seorang pemimpin lazimnya terserlah melalui tindakan yang berlaku tanpa dirancang.
Peristiwa itu bukan sekadar kisah kemanusiaan. Ia mengingatkan politik pada asasnya ialah tentang khidmat kepada manusia.
Apabila seseorang pemimpin sanggup berhenti untuk membantu tanpa mengira latar belakang mangsa atau pertimbangan politik, tindakan itu meninggalkan kesan yang lebih mendalam daripada retorik yang paling indah sekalipun.
Pendekatan seperti inilah yang semakin dikaitkan dengan Asna sepanjang menggalas amanah sebagai Adun Lenggeng.
Beliau bukan pemimpin yang sering mencetuskan kontroversi atau membina pengaruh melalui polemik. Sebaliknya, beliau lebih dikenali melalui gaya memimpin yang sederhana, mudah didekati dan konsisten mendampingi masyarakat.
Dalam suasana politik yang semakin mencabar, pendekatan sedemikian mempunyai nilai yang tersendiri.
Rakyat hari ini tidak lagi menilai pemimpin semata-mata berdasarkan manifesto atau keupayaan berpidato.
Mereka mahu melihat sama ada seseorang itu benar-benar hadir ketika diperlukan dan mampu membina kepercayaan melalui tindakan yang konsisten.
Kepercayaan yang diberikan kepada Asna sebagai timbalan yang dipertua DUN Negeri Sembilan turut memperlihatkan perkembangan perjalanan politiknya.
Jawatan itu bukan sekadar satu penghormatan, malah memberi pengalaman dalam mengendalikan institusi legislatif serta memperkukuh kefahaman terhadap aspek pentadbiran dan tadbir urus negeri.
Pada masa yang sama, Umno juga sedang melalui proses pembaharuan pucuk pimpinan. Pengalaman Johor memperlihatkan bahawa parti semakin terbuka kepada peralihan generasi apabila memberi kepercayaan kepada pemimpin muda menerajui negeri.
Pada usia 43 tahun, graduan kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia ini mencerminkan kemunculan generasi baharu peneraju Umno Negeri Sembilan yang sedang melalui proses pematangan.
Peremajaan barisan pemimpin bukan bermaksud mengetepikan pengalaman pemimpin terdahulu.
Sebaliknya, ia memastikan kesinambungan organisasi melalui gabungan pengalaman, tenaga baharu dan perspektif yang lebih segar terhadap cabaran semasa.
Mana-mana parti politik yang ingin kekal relevan perlu berani menyediakan ruang kepada pelapis yang mampu memikul amanah apabila tiba masanya.
Sekiranya BN berjaya memperoleh mandat membentuk kerajaan Negeri Sembilan, soal siapa yang akan menerajui pentadbiran negeri sudah tentu menjadi hak pucuk pimpinan parti untuk diputuskan.
Namun, kemunculan nama Asna dalam perbincangan mengenai barisan peneraju masa depan bukan lagi sesuatu yang mengejutkan.
Ia lahir daripada pemerhatian terhadap rekod perkhidmatan, pengalaman dalam institusi DUN, hubungan yang erat dengan akar umbi serta pendekatan politik yang sederhana tetapi konsisten.
Sudah tentu, pengalaman pentadbiran merupakan antara pertimbangan penting dalam menentukan barisan peneraju negeri.
Namun, landskap politik hari ini juga menuntut kemunculan pemimpin yang mampu menghubungkan pengalaman dengan aspirasi generasi baharu. Dalam konteks itulah proses melahirkan pelapis perlu dilihat sebagai satu keperluan, bukan sekadar pilihan.
Negeri Sembilan memerlukan pemimpin yang bukan sahaja cekap mengurus pentadbiran, malah memahami bahawa asas kepada sebuah kerajaan yang baik ialah kepercayaan rakyat.
Kepercayaan itu tidak dibina melalui slogan atau persepsi semata-mata, tetapi melalui integriti, empati dan kesediaan untuk berkhidmat tanpa mengira waktu dan keadaan.
Pilihan raya akhirnya bukan sekadar menentukan parti yang akan membentuk kerajaan. Ia turut membuka ruang kepada kemunculan generasi pemimpin baharu yang bakal mencorakkan masa depan negeri.
Sama ada Asna diberikan amanah yang lebih besar atau terus berkhidmat sebagai wakil rakyat, perkara itu bergantung kepada mandat pengundi dan kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.
Namun, jika ada satu pengajaran daripada insiden di Lenggeng itu, ia ialah nilai memimpin yang paling berkesan bukan semestinya lahir daripada detik yang dirancang.
Sebaliknya, ia sering terserlah dalam saat seseorang memilih untuk mendahulukan manusia daripada politik. Nilai itulah yang sentiasa kekal relevan, tidak kira siapa yang akhirnya diberikan amanah mentadbir negeri.
Penulis adalah seorang pengamal komunikasi yang pernah bertugas sebagai wartawan, setiausaha akhbar kepada menteri dan pegawai khas komunikasi strategik kepada perdana menteri.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
