
PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik keputusan kerajaan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kepada umum, sambil menyatakan ia sudah melangkah ke depan sejak ‘apa yang berlaku sebelum 2018’.
Katanya dalam kenyataan, TH telah melaksanakan 75% daripada syor RCI bagi meningkatkan tadbir urus dan kesejahteraan institusi ini dengan selebihnya kini sedang dalam proses pelaksanaan.
“TH telah mengambil maklum syor-syor RCI berhubung apa yang berlaku sebelum tahun 2018. Sejak itu, TH telah melangkah ke hadapan.
“TH juga telah memulihkan kunci kira-kira, membina rizab, dan berjaya meningkatkan pengagihan keuntungan kepada 3.5%, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun,” katanya sambil menambah berjaya mengekalkan kos haji RM33,300 seorang sejak tiga tahun lalu.
RCI berkenaan ditubuhkan pada 2021 bagi menyiasat isu isu berkaitan pengurusan, pengoperasian, dan aset TH antara 2014 hingga 2020, berikutan kebimbangan terhadap tadbir urus dan kedudukan kewangannya.
Siasatan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Raus Sharif itu turut meneliti pemindahan aset kurang berprestasi kepada syarikat bertujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd, selepas 2018.
Suruhanjaya itu memuktamadkan laporannya pada Julai 2022.
