
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata mempertahankan hak kaum Cina dan India di Malaysia tidak menjejaskan kedudukan Islam mahupun perlindungan Perlembagaan yang diberikan kepada orang Melayu.
Anwar berkata, Malaysia sudah mencapai kemerdekaan hampir 70 tahun dan sepatutnya sudah bergerak melangkaui retorik seperti menyuruh bangsa lain kembali ke China atau India.
“Itu menghina manusia. Kalau saya tanya anak India seorang, balik India, dia tahu balik di mana? Dia tak tahu. Yang dia tahu, ini negeri dia,” katanya pada program ‘Temu Anwar’ di Paroi, Negeri Sembilan.
Beliau berkata, rakyat Malaysia pelbagai kaum mempunyai kewajipan melindungi hak satu sama lain, sambil menambah dengan melakukan demikian tidak akan menjejaskan kedudukan Islam.
“Pertahankan hak orang India ini, dan orang Cina tidak sedikit pun menghakis keyakinan kita tentang Islam, tentang kehebatan Islam.”
Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan melindungi Islam sebagai agama persekutuan, serta Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Namun, ia turut menjamin hak rakyat Malaysia pelbagai kaum, yang sepatutnya dirai sebagai ahli dalam satu keluarga besar.
Anwar berkata, kerajaan tidak pernah mengusulkan untuk membuang kedudukan Perlembagaan orang Melayu atau melemahkan Islam.
“Tak pernah kita cadang dalam Pakatan Harapan, kerajaan Madani sekarang, nak pindah Perlembagaan, nak menolak prinsip-prinsip yang termaktub,” katanya.
