
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau mendapatkan bantuan bekas timbalan ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, bagi mendapatkan kontrak di bawah Jana Wibawa.
Pengarah Metrasys Sdn Bhd, Lian Tian Chuan, 54, yang juga saksi pendakwaan dalam kes rasuah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, berkata seorang lagi ahli perniagaan, Azman Yusoff, memperkenalkannya kepada Adam pada 2020, dengan menyifatkan Adam sebagai rakan rapat serta teman bermain golf Muhyiddin.
Lian berkata beliau beritahu Azman bahawa beliau berminat mendapatkan projek Jana Wibawa melalui sebuah lagi syarikat pembinaannya, Nepturis Sdn Bhd, yang diuruskan rakan kongsinya, Rizman Akum Khan dan Aliza Malek.
Menurut Lian, Azman yang ketika itu presiden sebuah persatuan kontraktor Bumiputera memberitahunya bahawa syarikat yang berminat memperoleh projek Jana Wibawa memerlukan sokongan Muhyiddin, lalu mengatur pertemuan dengan Adam pada Disember 2020.
“Adam memberitahu saya bahawa beliau mempunyai hubungan rapat dengan Muhyiddin dan boleh membantu saya mendapatkan projek,” kata Lian dalam penyataan saksinya.
Lian berkata Adam kemudian memaklumkan mengenai projek Jana Wibawa bagi pembinaan IPD Klang Utara dan mengarahkannya menyediakan surat hasrat yang ditujukan kepada Muhyiddin bagi menyokong permohonan prakelayakan tender Nepturis.
Beliau kemudian mengarahkan Aliza menyediakan lima surat, termasuk empat surat daripada syarikat yang ‘dipinjam’ bagi menyertai proses prakelayakan tender, sebelum menyerahkan semua dokumen itu kepada Adam untuk mendapatkan sokongan Muhyiddin.
Aliza sebelum ini memberi keterangan bahawa lima syarikat berkenaan ialah Nepturis Sdn Bhd, Fastcoll Corporation Sdn Bhd, MZ Hakujaya Sdn Bhd, Permata Rebana Sdn Bhd dan JM Letrik Sdn Bhd.
Lian berkata Azman kemudian memintanya menyumbang RM1 juta kepada Bersatu sekiranya Nepturis berjaya memperoleh projek pembinaan IPD Klang Utara, dengan mendakwa Adam telah mendapatkan sokongan Muhyiddin. Ketika itu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu merupakan perdana menteri.
Katanya, Azman turut mencadangkan supaya syarikatnya, KCJ Engineering Sdn Bhd, dilantik sebagai perunding untuk menyediakan khidmat nasihat dan menjalankan kajian pasaran berkaitan pembekal bagi tender prakelayakan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya.
Lian bersetuju membayar yuran perunding sebanyak RM1 juta kepada syarikat tersebut.
Pada 12 Jan 2022, Nepturis dianugerahkan kontrak bernilai RM141 juta bagi membina IPD Klang Utara.
Sebulan kemudian, Lian berkata beliau menyerahkan cek bernilai RM1 juta kepada Azman untuk disalurkan kepada Bersatu.
Muhyiddin, 79, berdepan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa iaitu inisiatif kerajaan yang diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.
Beliau didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM225.3 juta bagi pihak Bersatu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan Azman.
Beliau juga berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity dan dimasukkan ke dalam akaun Bersatu di AmBank serta CIMB Bank.
Pasukan pembelaan dianggotai Amer Hamzah Arshad, Hisyam Teh Poh Teik, Rosli Dahlan, Chetan Jethwani, K Kumaraendran, Kee Wei Loon, Low Wei Loke, Siti Summaiyah Ahmad Jaafar, Lee Yei Wei, Tang Jia Yearn dan Joshua Tay.
Pendakwaan pula dikendalikan oleh Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Akram Gharib, Noralis Mat, Mahadi Jumaat, Alis Izzati Azurin Rusdi dan Safari Abdullah.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Nurdin bersambung esok.
