Perpindahan 121 warga Rohingya dilakukan secara sukarela

Anuar Abd Rahman
Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abdul Rahman, seru orang ramai supaya tidak mensensasikan isu berkait perpindahan 121 warga Rohingya dari penempatan sementara. (Gambar PDRM)

KEPALA BATAS: Proses perpindahan 121 warga Rohingya dari penempatan sementara di bekas tapak tsunami di Penaga, Kuala Muda dilakukan secara sukarela susulan persaingan ekonomi dan pertambahan penghuni di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abdul Rahman, berkata pihaknya dimaklumkan kumpulan itu, yang bergerak dari penempatan sementara semalam, tiba di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur pagi tadi.

“Proses perpindahan ini dilakukan secara sukarela oleh warga Rohingya sendiri yang dibantu dan diselaraskan oleh jabatan Persekutuan, iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, kerajaan negeri, Majlis Keselamatan Negara, wakil penduduk tempatan dan wakil warga Rohingya.

“Sepanjang proses itu, polis turut memantau dan menyelaras bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin,” menurut kenyataan.

Polis menyeru orang ramai supaya tidak mensensasikan isu itu sehingga boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Terdahulu, ratusan pelarian Rohingya dilaporkan berkumpul di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur selepas tiba di ibu negara awal pagi tadi menaiki tiga bas dari Pulau Pinang.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengulas perkara itu berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kumpulan pelarian yang bertindak mengganggu ketenteraman awam atau cuba menguasai mana-mana kawasan.

Author: admin