
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu sebuah syarikat pembinaan menyumbang RM19.5 juta kepada Bersatu bagi mendapatkan projek jalan raya bernilai RM605 juta menerusi program Jana Wibawa.
Pengarah Urusan Mamfor Sdn Bhd Shahradzi Shamsuddin, 43, ketika memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau menyediakan semua cek jurubank dan menyerahkannya sendiri secara berperingkat kepada ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya antara Mei 2021 hingga November 2022.
Saksi pendakwaan itu berkata pada Jun 2021, beliau meminta bantuan ahli perniagaan Azman Yusoff untuk membantu Sutracom Sdn Bhd, syarikat milik adiknya Shahrin Shamsuddin, mendapatkan projek pembinaan dan menaik taraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3 bernilai RM605 juta.
Shahradzi berkata beliau mengenali Azman selepas bertemu dengannya di Kementerian Kerja Raya kira-kira setahun sebelum itu.
Menurutnya, sebulan kemudian, Azman memintanya menyumbang wang kepada Bersatu dan berkata beliau akan membantu Sutracom memperoleh projek berkenaan.
Walaupun Azman tidak menetapkan jumlah atau peratusan tertentu, Shahradzi berkata berdasarkan pengalamannya sebagai ahli perniagaan, beliau menganggarkan sumbangan itu sekitar 3% hingga 4% daripada nilai kontrak.
“Saya memenuhi permintaannya kerana percaya ia mempunyai kaitan dengan Sutracom, syarikat milik adik saya yang saya gunakan untuk mendapatkan projek Lingkaran Pulau Indah, menerima minit sokongan bertulis daripada Muhyiddin Yassin yang ketika itu perdana menteri,” katanya dalam pernyataan saksi.
Sutracom dianugerahkan projek itu pada Oktober 2022.
Shahradzi berkata RM10.5 juta disumbangkan sebelum Sutracom menerima surat setuju terima, manakala RM9 juta lagi diberikan selepas projek itu dianugerahkan.
Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Shahradzi bersetuju beliau tidak akan menyumbang kepada Bersatu sekiranya Azman tidak memintanya berbuat demikian.
Wan Shaharuddin: Jika Azman tidak meminta sumbangan itu, adakah anda akan menyumbang walaupun RM100 kepada Bersatu?
Shahradzi: Tidak.
Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat, Shahradzi berkata beliau mengetahui Azman terbabit dalam perniagaan pengurusan fasiliti dan presiden sebuah persatuan kontraktor Bumiputera.
Semasa pemeriksaan balas, peguam bela Chetan Jethwani mencadangkan Azman tidak pernah mengaitkan permintaan sumbangan itu dengan Muhyiddin.
Chetan: Azman tidak pernah memberitahu anda bahawa Muhyiddin meminta sumbangan itu?
Shahradzi: Dia tidak pernah berkata demikian.
Chetan: Dia tidak pernah menyebut nama Muhyiddin?
Shahradzi: Tidak pernah.
Shahradzi turut memberi keterangan bahawa beliau tidak pernah bercakap secara peribadi dengan Muhyiddin dan tidak mengetahui mengapa Azman memintanya menyumbang kepada Bersatu.
Terdahulu, dalam pernyataan saksinya, Shahradzi berkata beliau pada awalnya meminta bantuan rakannya, Ayob Ali, yang didakwanya rapat dengan Muhyiddin kerana bekas perdana menteri itu sering menghadiri rumah terbuka Aidilfitri di rumah Ayob.
Beliau berkata pada Disember 2020, beliau meminta Ayob menyerahkan surat daripada Sutracom kepada Muhyiddin bagi memohon projek Lingkaran Pulau Indah menerusi rundingan terus.
Bagaimanapun, pada Mac 2021, Ayob memaklumkan bahawa kerajaan tidak lagi membenarkan rundingan terus dan menasihatkannya supaya memohon menerusi proses tender prakelayakan.
Shahradzi berkata beliau kemudian “meminjam” beberapa syarikat milik rakan dan kenalannya untuk mengemukakan surat hasrat.
Katanya, setiap surat dicetak menggunakan kepala surat syarikat berkenaan, disediakan olehnya dan dialamatkan kepada Muhyiddin.
Selain Sutracom, syarikat terbabit ialah Multi Skilled Engineering Sdn Bhd, Majulia Sdn Bhd, ANR Ventures Sdn Bhd, Sejagat Bakti Sdn Bhd dan Smart Reliance Sdn Bhd.
Beliau berkata semua surat itu diserahkan kepada Ayob.
Pada April 2021, adiknya memaklumkan Sutracom menerima e-mel daripada Kementerian Kewangan yang meminta dokumen bagi bidaan projek itu.
Shahradzi kemudian meminta bantuan lanjut daripada Azman.
Muhyiddin, 79, berdepan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa, inisiatif kerajaan yang diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.
Presiden Bersatu itu didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM225.3 juta bagi parti berkenaan daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor dan Azman.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Beliau turut berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity dan dimasukkan ke dalam akaun Bersatu di AmBank dan CIMB Bank.
Kesalahan itu didakwa berlaku di AmBank, Petaling Jaya, serta CIMB Bank di Jalan Stesen Sentral antara 25 Feb 2021 hingga 8 Julai 2022.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Nurdin bersambung esok.
