
PETALING JAYA: Penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Malaysia pada Oktober ini dijangka memberi limpahan ekonomi jangka sederhana dan panjang kepada negara melalui peningkatan pelancong serta pendedahan global yang mampu menarik lebih banyak pelaburan dan acara bertaraf dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata walaupun kos penganjuran ditanggung Bahrain, Malaysia tetap mendapat manfaat ekonomi kerana perlumbaan itu akan disaksikan jutaan penonton di seluruh dunia, yang secara tidak langsung dapat memperkukuh kedudukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai litar bertaraf dunia.
“Walaupun kita tahu perbelanjaannya besar, ini ditanggung oleh Bahrain. Kesan ekonomi bukan hanya dapat dilihat dari segi kehadiran pelancong, tetapi juga daripada liputan media dan acara di seluruh dunia kerana penonton dan khalayaknya ialah berjumlah bilion orang.
“Ini akan memberikan kesan jangka sederhana dan panjang kepada negara kerana SIC mempunyai kemudahan bertaraf dunia yang selama ini tidak digunakan sepenuhnya kecuali untuk MotoGP,” katanya menurut Berita Harian selepas Majlis Perasmian Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026 di Sepang.
F1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah GP Bahrain dari 2 hingga 4 Okt ini, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi, termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.
Perlumbaan itu akan berlangsung antara GP Azerbaijan dan Singapura dalam kalendar F1.
Zahid berkata, kejayaan menjadi tuan rumah F1 Bahrain itu juga boleh membuka ruang kepada negara kembali menganjurkan F1 kelak, dengan sokongan kerajaan dan penajaan sektor korporat.
“Saya harap untuk tahun-tahun mendatang, Malaysia dapat memperuntukkan dana tertentu serta memperoleh penajaan syarikat supaya F1 dapat dianjurkan semula di negara ini.
“Untuk MotoGP umpamanya, Kabinet atas arahan perdana menteri memutuskan ia bukan hanya ditanggung Kementerian Belia dan Sukan melalui peruntukan Kementerian Kewangan, tetapi membabitkan projek pembangunan, penajaan dan penganjuran bersama menggunakan pendekatan perkongsian bijak.”
