Diplomasi diraja bawa F1 kembali ke Sepang

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa menjalin persahabatan peribadi yang baik sejak 2017, sebelum berkembang kepada pengukuhan hubungan diplomasi antara dua negara. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Panggilan telefon antara Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menjadi titik penting yang membuka laluan kepada perlumbaan Formula 1 (F1) kembali ke Sepang selepas sembilan tahun.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Raja Hamad menghubungi baginda bagi membincangkan jalan penyelesaian selepas penganjuran Grand Prix Bahrain berdepan ketidaktentuan susulan konflik bersenjata di Asia Barat.

Perbincangan itu kemudiannya membawa kepada kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia dan Bahrain serta pihak F1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

“Perbincangan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra serta semangat persahabatan itu menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik,” menurut hantaran itu.

Hasil persefahaman berkenaan, Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) dipilih sebagai venue bagi Grand Prix Bahrain dari 2 hingga 4 Okt ini.

Perlumbaan itu akan dikenali sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia dan dijadualkan berlangsung antara Grand Prix Azerbaijan dan Singapura.

Menurut hantaran berkenaan, kejayaan itu didorong hubungan erat serta kepercayaan antara Sultan Ibrahim dan Raja Hamad yang menjalin persahabatan peribadi sejak 2017.

Hubungan itu terus berkembang kepada pengukuhan kerjasama diplomatik antara kedua-dua negara, termasuk menerusi lawatan negara Sultan Ibrahim ke Bahrain pada tahun lalu.

“Pengumuman litar Sepang sebagai tuan rumah bagi F1 Grand Prix Bahrain diterima baik, terutama dalam kalangan peminat F1 di Malaysia dan serantau.

“Ia turut mencipta lembaran sejarah tersendiri yang mencerminkan hubungan diplomasi diraja yang cukup baik antara Sultan Ibrahim dan Raja Hamad,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dipilih menjadi tuan rumah acara Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix kerana situasi aman serta memiliki infrastruktur baik.

Beliau berkata jika tidak mana mungkin Malaysia dipilih dan kekuatan tentera, polis serta semua pasukan keselamatan membolehkan negara terus aman.

“Perkara aman dalam satu negara jangan kita anggap perkara biasa,” katanya di Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garisson Kem Syed Sirajuddin Gemas 

Pemilihan Sepang menyaksikan F1 kembali ke Malaysia buat kali pertama sejak 2017.

SIC menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia selama 19 musim, bermula pada 1999 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar susulan peningkatan kos penganjuran dan yuran pelesenan.

Author: admin