
KUALA PILAH: Calon Barisan Nasional (BN) DUN Juasseh Ismail Lasim tidak terkesan dengan serangan yang mendakwanya gagal berkhidmat sebagai bekas wakil di kawasan itu dan Senaling selama enam penggal.
Mengulas pemasangan kain rentang serangan itu, baru-baru ini, Ismail berkata semua pihak perlu berkempen secara berhemah sepanjang PRN Negeri Sembilan tanpa menggunakan serangan berbentuk peribadi.
Beliau berkata setiap calon sepatutnya menampilkan manifesto, rekod perkhidmatan dan tawaran kepada rakyat bukan cuba menjatuhkan lawan melalui tindakan tidak sihat.
“Kalau nak bertanding biarlah secara gentleman. Biar rakyat menilai dan membuat pilihan berdasarkan kemampuan setiap calon,” katanya kepada FMT.
Ismail menjadi Adun Senaling bermula 1999 hingga 2018 sebelum berpindah ke DUN Juasseh pada 2018 hingga 2023. Pada PRN2023, ketua Umno Kuala Pilah itu kembali ke Senaling.
Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos depan, beliau kembali dipertaruhkan di DUN Juasseh untuk berdepan Aidil Abdullah dari Pakatan Harapan (PH) dan calon Bersatu Zuhaimi Md Yusof.
Sementara itu, Aidil turut tidak bersetuju dengan tindakan menyerang Ismail dengan cara sebegitu dan menafikan pembabitan PH.
“Bukan pihak kami. Takkan lakukan perkara seperti itu,” katanya.
Mengulas peluang mempertahankan kerusi itu, Ismail yakin majoriti 78 undi diperoleh BN pada PRN 2023 mampu ditingkatkan kali ini, terutama dengan kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya juga pernah berkhidmat di Juasseh sebelum ini dan mengenali penduduk tempatan. Mungkin itu memberi sedikit kelebihan,” katanya.
Aidil pula menyifatkan kedua-dua pencabarnya sebagai ‘dua gergasi’, namun percaya pengundi Juasseh tidak akan membuat pilihan semata-mata berdasarkan kekuatan tradisi sesebuah parti.
“Saya akui calon BN dan Bersatu dilihat sebagai ‘dua gergasi’ dalam pertandingan tiga penjuru ini.
“Namun, saya rasa pengundi Juasseh akan membuat pertimbangan berdasarkan kestabilan dan mereka tahu apa yang dimahukan untuk kawasan ini.
“Pengundi cukup matang untuk menilai,” katanya sambil menyatakan semua calon perlu bekerja keras untuk meyakinkan pengundi berdasarkan corak pengundian sentiasa berubah.
Pada PRN 2023, calon BN Bibi Sharliza Mohd Khalid menewaskan calon PN Eddin Syazlee Shith dengan majoriti 78 undi.
