Bersatu parti bermaruah, tak perlu dibubar, kata Azmin

mohamed azmin ali
Azmin Ali berkata Bersatu satu-satunya parti berani bertindak secara solo sebagai pembangkang.

KUALA PILAH: Azmin Ali menyifatkan Bersatu sebagai parti bermaruah serta mempunyai rekod perjuangan cemerlang, sambil menolak gesaan supaya ia dibubarkan dan ahlinya kembali menyertai Umno.

Bercakap kepada FMT selepas kempen PRN Negeri Sembilan di Juasseh semalam, setiausaha agung Bersatu itu berkata parti berkenaan akan terus aktif dan bertanding dalam setiap pilihan raya bagi menawarkan perubahan kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan pendirian Bersatu tidak akan berubah kerana parti itu kekal berpegang kepada prinsip dan idealisme diperjuangkan.

“Bersatu parti berdaftar dan bermaruah serta mempunyai rekod cukup cemerlang.

“Ini satu-satunya parti politik berani bertindak secara solo sebagai pembangkang kerana pihak lain memilih bekerjasama dengan kumpulan tertentu,” katanya mengulas kerjasama Perikatan Nasional (BN) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN Negeri Sembilan.

Di peringkat persekutuan pula BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim.

Azmin mengulas gesaan Veteran Umno Mohd Yussof Latiff Selasa lalu susulan Bersatu dilihat semakin terpinggir daripada arus perdana politik akibat krisis dalaman parti dan kemelut dalam PN, yang turut dianggotai PAS.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada Khamis turut menolak cadangan supaya parti itu dibubarkan dan ahlinya kembali menyertai Umno.

Menurut bekas perdana menteri itu, Bersatu akan terus menjadi wadah perjuangan politiknya dan tiada alasan munasabah untuk membubarkan parti yang ditubuhkan hampir sedekad lalu berkenaan.

Krisis PN menyaksikan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu pada JUn lalu, namun kedua-duanya kekal dalam gabungan berkenaan.

Bersatu bertanding di 24 kerusi menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos depan, selepas mendakwa parti itu tidak dibabitkan dalam sebarang perbincangan pembahagian kerusi PN.

PN pula mengadakan persefahaman dengan Barisan Nasional (BN) dengan masing-masing bertanding 11 dan 25 kerusi.

Situasi menyebabkan pertembungan PN dengan Bersatu di beberapa kerusi antaranya Serting, Ampangan, Paroi, Klawang dan Sikamat.

Author: admin