
Saya ada lima orang anak perempuan. Jadi bila saya tengok video yang tular minggu ini, saya terduduk lama tanpa cakap apa-apa.
Video itu pendek sahaja. Seorang bapa datang ke hadapan sekolah sebab anak lelakinya kena pukul. Dia turun nak selamatkan anak. Habis tu dia pula yang kena, dipukul sampai jatuh atas jalan.
Saya cuba bayangkan kalau itu saya. Anak telefon menangis. Saya terus keluar rumah. Sampai di sana bukan saya yang bawa anak balik, tapi saya pula yang kena dipapah. Saya tak sanggup fikir jauh.
Saya membesar di flat. Bukan tempat yang senang. Bergaduh benda biasa. Berebut padang bola pun boleh bergaduh. Kena ejek pun boleh bertumbuk. Kadang-kadang kami bergaduh sebab nak jaga kawan.
Tapi ada satu benda yang kami semua faham masa itu. Kalau ada orang tua datang, kami berhenti. Kalau ayah datang, kami lari. Kalau emak datang, kami tunduk. Pak cik sebelah rumah datang pegang bahu pun dah cukup untuk pergaduhan tamat.
Bukan sebab takut kena penampar. Tapi sebab masa itu kami memang dididik begitu.
Hari ini, seorang bapa yang datang nak selamatkan anaknya sendiri pun boleh kena belasah. Video itu tular tiga minggu selepas kejadian. Ini yang buat saya fikir lebih panjang.
Ketua Polis Serdang Muhamad Farid Ahmad kata kejadian berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah hari, pada 3 Julai. Budak berusia 16 tahun itu sedang menuju ke motosikal di luar kawasan sekolah. Dia dipanggil oleh beberapa pelajar dari sekolah yang sama, kemudian dikepung dan dipukul. Bapanya masuk cuba meleraikan, dia pun kena, sampai jatuh atas jalan.
Beberapa orang sudah ditahan. Kes disiasat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.
Tengok tarikh itu sekali lagi iaitu 3 Julai. Video baru tular hampir tiga minggu selepas itu. Maknanya selama tiga minggu, tak ramai yang tahu. Tak ada kemarahan. Tak ada perbincangan. Semua itu datang lepas video keluar. Jadi dalam satu kejadian yang sama, ada yang memukul, ada yang berdiri merakam. Yang cuba menghalang, saya tak pasti berapa ramai.
Kes makin banyak?
Ramai kata media sosial yang buat kita rasa kes makin banyak. Baik, jom tengok angka rasmi.
Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) di bawah Kementerian Pendidikan merekod 3,883 kes buli pada 2022. Naik ke 6,528 pada 2023. Naik lagi ke 7,681 pada 2024. Lepas itu 2025 turun mendadak ke 2,889. Nampak macam berita baik. Saya pun nak percaya begitu.
Tapi Kementerian Pendidikan sendiri sudah jelaskan yang angka tinggi pada 2024 itu naik sebab pelaporan bertambah, selepas Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 12 Tahun 2023 dikuatkuasakan. Bukan semestinya sebab kejadian bertambah. Kalau naik sebab pelaporan, turun pun belum tentu sebab kejadian berkurang. Mungkin cara merekod sahaja yang berubah.
Ada satu lagi angka yang jarang orang sebut. Dalam tahun 2025 yang sama, ada 3,570 kes lain direkod di bawah kategori salah laku jenayah. Sebanyak 3,113 daripadanya di sekolah menengah.
Buli dan jenayah difailkan dalam dua kategori berasingan. Jadi kalau kita tengok angka buli sahaja, kita tak dapat gambaran penuh apa yang sebenarnya berlaku dalam kalangan pelajar. Budak yang kena kepung depan sekolah pun tak kisah kesnya masuk kategori mana.
Satu perkara yang tak berubah, tiga daripada empat kes berlaku di sekolah menengah. Sama sahaja untuk dua-dua tahun. Saya tak nak kata keganasan sekolah makin teruk sebab data tak sokong dakwaan itu sepenuhnya, tapi saya pun tak sanggup kata masalah ini sudah selesai.
Program boleh salin. Budaya tak boleh
Pada April lepas, di Bandar Selesa Jaya, Skudai. Lima belas suspek ditahan selepas pergaduhan di hadapan sekolah, tiga belas daripadanya budak lelaki.
Pada 6 Julai, di Banting. Seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 kena tikam dalam kawasan sekolah. Yang menikam pun pelajar perempuan juga. Bila polis siasat, suspek beri alasan dia memendam rasa sebab dia sendiri dibuli.
Beberapa hari selepas itu, di Alor Gajah, seorang bapa kejar tiga orang pelajar dengan pisau, sebab dia kata anaknya dibuli.
Kejadian tular kali ini di Seri Kembangan.
Cuba tengok tiga kes terakhir betul-betul. Mangsa buli ambil pisau. Bapa mangsa ambil pisau. Bapa yang datang tangan kosong, dia pula yang balik dengan luka. Bila mangsa mula rasa membalas lebih berkesan daripada melapor, kita kena tanya sama ada sistem yang ada ini betul-betul berjalan atau tidak.
Kita sudah tukar Menteri Pendidikan berapa kali entah. Setiap seorang bawa cara masing-masing. Kempen antibuli ada. Program sahsiah ada. Guru kaunseling ditambah. Pegawai perhubungan sekolah ada. CCTV dipasang di asrama. Garis panduan baharu dikeluarkan. Semua ini perlu.
Tapi program menyasarkan kejadian, bukan budaya. Menteri boleh keluarkan pekeliling untuk sekolah. Dia tak boleh keluarkan pekeliling pasal macam mana seorang anak bercakap dengan ayah dalam rumah sendiri.
Finland selalu jadi contoh. Program KiVa di sana pernah diuji di lebih 200 buah sekolah, dan hasilnya kes buli berkurang, murid pun jadi lebih berani tampil membela mangsa. Sekarang lebih 90% sekolah awam di Finland menggunakannya. Bila program yang sama dibawa ke negara lain, hasilnya bercampur-campur. Ada yang menjadi, ada yang tidak. Program boleh disalin. Budaya tak boleh.
Kita pun sibuk, saya faham. Ini bahagian yang paling susah saya nak tulis, sebab saya sendiri pun seorang ayah. Ramai ibu bapa keluar rumah sebelum matahari naik. Balik pun anak sudah nak tidur. Bukan tak sayang tapi cari makan. Sebab nak bagi anak hidup yang lebih senang daripada kita dulu.
Tapi dalam kesibukan itu, bila masanya kita nak mendidik?
Anak-anak sekarang lebih banyak bercakap dengan telefon daripada dengan kita. Lebih banyak belajar daripada TikTok berbanding daripada atuk. Dulu ibu bapa yang jadi tempat anak belajar adab. Sekarang mungkin algoritma sudah ambil tempat itu. Algoritma tak pernah ajar pasal hormat. Dia cuma bagi ganjaran pada apa yang orang tengok. Baik atau buruk, dia tak kira.
Akhirnya kalau seorang bapa yang datang semata-mata nak selamatkan anaknya pun boleh kena pukul, kepada siapa lagi anak-anak kita nak belajar tentang hormat?
Masalah sebenar bukan seorang budak pukul seorang budak. Masalah sebenar ialah bila keganasan mula terasa biasa. Bila telefon lebih cepat keluar daripada tangan yang nak melerai.
Kita boleh pasang lebih banyak CCTV. Kita boleh ketatkan hukuman. Kita boleh tambah guru disiplin. Semua itu perlu tapi kalau anak tak belajar hormat pada ibu bapa dalam rumah, susah nak harap dia akan hormat cikgu di sekolah, hormat jiran, atau hormat orang asing yang cuba meleraikan pergaduhan.
Negara ini tak runtuh bila bangunannya rosak. Negara mula retak bila adab rakyatnya hilang.
Syafiq Sunny ialah bapa kepada lima orang anak.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
