
PETALING JAYA: Penelitian PKR mendapati bahawa nama ahli perniagaan, Liow Soo Hee atau Nicky Liow, tiada di dalam senarai keanggotaan.
Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata nama tersebut juga tiada dalam senarai yang memohon untuk menjadi anggota PKR.
“Saya boleh sahkan bahawa nama nama Liow Soo Hee @ Nicky Liow tiada di dalam senarai keanggotaan dan juga tiada di dalam senarai yang memohon untuk menjadi anggota,” menurut kenyataan.
Terdahulu, wakil rakyat PKR, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung, menyoal sama ada parti beliau menerima Liow sebagai ahli, susulan gambar tular di media sosial.
Pada April 2022, Liow didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 26 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan sejumlah RM36 juta.
Dia mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.
