BN tak kompromi politik perkauman walau kerjasama dengan PN, kata Zambry

BN menolak dan tidak berkompromi sebarang kenyataan menghidupkan sentimen perkauman dan persoal kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian warga Malaysia.

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) berkata tidak akan berkompromi sebarang bentuk politik perkauman atau politik ketakutan, sambil menegaskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan tidak mengubah prinsip diperjuangkan.

Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir, berkata persefahaman wujud pada PRN Negeri Sembilan tidak bermaksud BN menerima naratif politik mana-mana pihak atau menggadaikan prinsip dipegang sejak sekian lama.

“BN menolak dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman, mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian daripada warga Malaysia atau menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Selepas hampir tujuh dekad merdeka, politik memecah-belahkan rakyat mengikut asal usul kaum tidak mempunyai tempat dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor dikritik pelbagai pihak berhubung kenyataannya “Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”

Semalam, Sanusi berkata kenyataannya diputar belit demi kepentingan politik, dan beliau akan mengambil tindakan undang-undang untuk ‘membetulkan keadaan’.

PRN Negeri Sembilan menyaksikan BN bertanding di 25 kerusi, manakala PN bersaing di baki 11 kawasan.

Author: admin