
KUALA PILAH: Setiausaha Agung Azmin Ali berseloroh tentang situasi ‘gila’ yang dihadapi Bersatu ketika ini, berlatarkan kemelut dengan PAS yang memimpin Perikatan Nasional (PN).
Mengumpamakan situasi itu sebagai suatu perceraian, Azmin kata Bersatu tidak pernah mahu memutuskan hubungan dengan mana-mana parti dalam PN.
“Kita tak pernah ceraikan sesiapa, tetapi oleh kerana mereka nak ceraikan kita, tetapi nak duduk dalam rumah kita, tak nak keluar — pagi cerai, malam nak tidur dengan kita — gila kita,” katanya dalam ucapan ketika berkempen untuk calon Bersatu di Batu Kikir.
Bersatu dan PAS masih menganggotai PN walaupun kerjasama politik antara mereka terhenti.
Berlatarkan persefahaman antara PN pimpinan PAS dan Barisan Nasional, Bersatu menyertai PRN Negeri Sembilan atas lambang sendiri — bertanding di 24 kerusi dan bertembung dengan PAS dan Wawasan di beberapa kawasan.
Azmin turut menyentuh mengenai sikap ‘kawan’ tersebut. “Ini baru nikah sebulan cerai, nikah setahun cerai, itulah kata orang ‘trademark’ atau sikap kawan kita.”
Beliau sempat membidas sikap PAS ketika PRN Johor lalu. Pilihan raya tersebut menyaksikan PAS tidak berkempen untuk calon Bersatu yang bertanding atas lambang PN.
“Ini satu pengkhianatan,” katanya, sambil menyasarkan kerjasama antara PAS dan Umno.
“Bila ada musim pilihan raya keluar pula fatwa baharu, boleh dakap dan sokong. Atas nama penyatuan Melayu tetapi akhirnya Melayu dipecahkan.”
Azmin juga menepis sebarang pertikaian mengenai perjuangan pemimpin Bersatu.
“Tanpa parti politik yang tunggang agama pun akidah kita tetap Islam. Tanpa parti yang bertopeng Islam pun akidah kita tetap Islam. Tanpa parti perkauman sempit pun kita tetap Melayu,” katanya.
Negeri Sembilan akan ke peti undi pada 1 Ogos.
