
KUALA LUMPUR: Tarif 10% dikenakan Amerika Syarikat (AS) tidak menjejaskan daya saing negara kerana kadar itu turut dikenakan ke atas hampir semua negara yang mengeksport ke pasarannya, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani.
Beliau berkata, kadar tersebut ke atas negara menjadi antara terendah, sekali gus memastikan kedudukan negara kekal kompetitif di pasaran AS.
“Semua negara dikenakan tarif, sama ada kadarnya tinggi atau rendah. Bagi Malaysia, kadar 10% itu adalah antara yang paling rendah.
“Jadi, dari sudut eksport, apabila semua negara yang menghantar barangan ke AS turut dikenakan tarif dan Malaysia hanya dikenakan 10%, kedudukan kita masih lebih kurang sama,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) ke-50 di Hotel St Regis.
Johari berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kadar tarif 10% AS terhadap Malaysia akan membebankan negara susulan konflik di Asia Barat.
Mengulas lanjut, Johari berkata kebimbangan sebenar kerajaan adalah sekiranya Malaysia dikenakan kadar jauh lebih tinggi berbanding negara pesaing akibat kegagalan melakukan libat urus dengan AS.
“Yang kita bimbang ialah jika negara lain hanya dikenakan tarif 10%, tetapi Malaysia pula dikenakan 40% kerana kita tidak melakukan libat urus. Itu yang tidak boleh berlaku,” katanya.
Malaysia dikenakan tarif 10% oleh AS di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, yang berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS hari ini.
Terdahulu, Johari berkata Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10%, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5%.
Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksana dan menguatkuasakan undang-undang melarang pengimportan barangan dihasilkan menerusi buruh paksa.
Dalam pada itu, Johari memaklumkan Malaysia hanya tertakluk kepada dua daripada empat kategori siasatan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan AS, iaitu buruh paksa dan lebihan kapasiti.
Katanya, bagi isu buruh paksa, Malaysia dikenakan tarif 10% kerana negara mempunyai undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap syarikat yang melanggar piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), namun belum mempunyai mekanisme bagi menangani bahan mentah yang diimport dari negara ketiga yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Johari berkata, kerajaan telah memberi komitmen kepada AS untuk menggubal undang-undang berkaitan, dengan tempoh dua tahun diberikan selepas perjanjian berkaitan diratifikasi.
“Sebab itu mereka memberi kita tempoh dua tahun untuk menggubal undang-undang tersebut, bukan perlu dilaksanakan serta-merta. Perjanjian itu telah ditandatangani, dan sebaik sahaja kita meratifikasinya, Malaysia diberi tempoh dua tahun untuk meminda undang-undang sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baharu,” katanya.
