Sanusi anggap kerjasama BN-PN hanya libat PAS dan Umno, kata Puad

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata kenyataan Sanusi Nor mencerminkan pandangannya bahawa kerjasama BN-PN hanya melibatkan PAS dan Umno.

PETALING JAYA: Kenyataan kontroversi terbaru Sanusi Nor berpunca daripada pandangannya bahawa kerjasama pilihan raya Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) hanyalah melibatkan PAS dan Umno, kata bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi.

Puad berkata, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN sememangnya dikenali sebagai seseorang yang ‘suka terlajak cakap’.

“Sebab Sanusi melihat kerjasama itu hanya dari sudut Umno dan PAS sahaja. Pada PAS, penyatuan ummah adalah keutamaan. MCA, MIC, MIPP dan Gerakan hanya penumpang.”

Puad berkata kenyataan Sanusi telah menjejaskan Umno dan beliau menyokong gesaan Presiden Umno Zahid Hamidi supaya menteri besar Kedah itu memberi tumpuan kepada pentadbiran negerinya.

“Tetapi masalahnya di Kedah, Sanusi tidak banyak kerja. Negeri tidak ada pertumbuhan,” kata Puad.

Dalam satu ceramah pada malam Khamis, Sanusi dilaporkan berkata ‘Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.’

Kenyataan itu mengundang kritikan daripada beberapa pemimpin DAP serta Presiden MIC SA Vigneswaran yang menggesa BN mengkaji semula kerjasama pilihan rayanya dengan PN bagi PRN Negeri Sembilan.

Sanusi kemudian mendakwa kenyataannya telah diputar belit demi kepentingan politik dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Author: admin