
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menyelar tindakan Sanusi Nor yang terang-terangan mengetepikan sensitiviti kaum apabila menyatakan etnik berbeza di Malaysia boleh bergantung kepada tanah air nenek moyang mereka di luar negara.
Beliau berkata, ditambah pula dengan sikap Umno yang enggan menegur pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu, timbul kebimbangan mendalam apa yang akan berlaku pada masa hadapan, mengambil kira pakatan baharu yang bermula di Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan, Ramkarpal berkata, seruan Presiden MIC SA Vigneswaran agar Barisan Nasional (BN) bergerak solo sama sekali tidak meredakan situasi dicetuskan PAS kerana sikap Umno yang tidak mahu mengecam apa diperkatakan Sanusi.
Pada Khamis, Sanusi, yang juga menteri besar Kedah, berkata bahawa ‘Tanah Melayu’ satu-satunya tanah air orang Melayu, tidak seperti kumpulan etnik lain yang boleh pulang ke India, China atau Thailand.
Ramkarpal berkata, kenyataan semasa berkempen di Negeri Sembilan itu bukan sahaja tidak sensitif, malah terbuka mengabaikan rasa hormat dan persefahaman sejak sekian lama dipupuk, kerana menganggap kaum India dan Cina tidak dialukan di sini kerana boleh pulang ke India dan China.
“Kenyataan itu tidak boleh dianggap kebetulan kerana ia dibuat tidak lama selepas kenyataan presiden parti Sanusi, Hadi Awang pada 16 Julai, yang membayangkan kaum bukan Melayu ‘pendatang’ di negara ini.
“Tidak syak lagi retorik perkauman sedemikian semestinya dikecam keras kerana ia tidak mempunyai tempat di Malaysia yang berbilang budaya dan kaum. Sekiranya dibiarkan tanpa kawalan, ia berpotensi mencetuskan ketegangan kaum.”
Ramkarpal berkata, parti komponen BN seperti MIC dan MCA mesti menyatakan pendirian jelas terhadap PAS, terutamanya sama ada mereka bersedia meninggalkan BN susulan isu itu.
Ahli Parlimen DAP itu menyeru pihak berkuasa memulakan siasatan terhadap Sanusi kerana kegagalan mengambil tindakan berisiko menyebabkan kenyataan sama diulangi, sekali gus memudaratkan hubungan kaum di negara ini.
