
JERAM PADANG: Tidak ada perbincangan di peringkat kerajaan mengenai kemungkinan mengadakan PRU pada hujung tahun ini, menurut jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata pentadbiran Anwar Ibrahim pada ketika ini fokus pada kestabilan dan menyelesaikan isu ekonomi, dan bukan pilihan raya umum.
“Setakat ini kita tidak ada bincang apa-apa mengenai PRU16. Pilihan raya boleh diadakan selewat-lewatnya hujung tahun depan,” katanya kepada pemberita di program wayang pacak di Pekan Rompin.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan, sebagai melihat ada kemungkinan Parlimen akan dibubarkan seawal hujung tahun ini, ‘kalau perdana menteri rasa tak sedap hati’.
Mohamad berkata demikian ketika berkempen di Rantau, sempena PRN Negeri Sembilan. Beliau juga menteri luar dalam pentadbiran sekarang.
Fahmi menyifatkan kenyataan itu sebagai pandangan peribadi. “Saya lihat itu adalah sekadar pandangan Mohamad.”
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat 14 Julai sekali lagi menolak gesaan PRU diadakan lebih awal dengan menekankan kerajaan pimpinannya perlu masa melaksanakan mandat diberikan.
Beliau menjawab wakil rakyat PN Rosol Wahid sama ada kerajaan wajar ‘mengembalikan suara kepada rakyat’ dengan mengadakan pilihan raya lebih awal, mengambil kira tahap seriusnya krisis Selat Hormuz dan ketidaktentuan politik dalam negara.
PRU16 akan datang hanya perlu diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028, namun timbul spekulasi pilihan raya mengejut mungkin diadakan hujung tahun ini berikutan hubungan semakin tegang antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Kedua-dua gabungan yang menjadi tunjang kepada kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan kini berdepan persaingan sengit dalam PRN, terbaru di Negeri Sembilan menyaksikan persefahaman antara BN dengan Perikatan Nasional (PN) tanpa Bersatu.
