Bersatu janji peruntukan sama rata untuk semua Adun NS

Bersatu
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, pada sidang media selepas melancarkan manifesto bagi PRN Negeri Sembilan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bersatu berjanji akan menggubal undang-undang bagi memastikan semua Adun Negeri Sembilan menerima peruntukan tahunan yang sama, tanpa mengira parti.

Manifesto Bersatu sempena PRN Negeri Sembilan juga menjanjikan penubuhan jawatankuasa khas yang dianggotai oleh wakil masyarakat dan golongan profesional bagi memantau dan memastikan semua tawaran parti itu dilaksanakan sepenuhnya.

Ia juga mahu memperkukuh institusi adat dengan menambah baik kebajikan dan pengiktirafan kepada ketua-ketua adat, termasuk menilai semula kadar elaun.

Sementara itu, Bersatu mahu menubuhkan Dana Rumah Rakyat dengan peruntukan permulaan RM100 juta bagi tujuan menyediakan rumah mampu milik kepada warga Negeri Sembilan yang memerlukan, dan menubuhkan Nismilan Critical Illness Fund dengan peruntukan permulaan RM25 juta bagi menyediakan bantuan kewangan kepada warga Negeri Sembilan yang menjalani rawata penyakit kritikal.

Ia juga mahu mewujudkan Nismilan EduFund dengan dana permulaan RM25 juta sebagai tabung akses pendidikan tinggi untuk anak Negeri Sembilan daripada keluarga yang memerlukan, menawarkan bantuan RM500 hingga RM1,500 kepada pelajar.

Manifesto ‘Tawaran Bersatu Demi Nismilan’ dilancarkan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dalam satu majlis di Nilai.

Ia mengandungi pelbagai janji meliputi tadbir urus, ekonomi, pelancongan, pertanian, pendidikan, belia, wanita, Felda dan kebajikan rakyat.

Bersatu berkata pihaknya mahu menjadikan Kolej Yayasan Negeri Sembilan sebagai institusi TVET bertaraf antarabangsa, yang menawarkan pengajian percuma secara bersasar kepada anak Negeri Sembilan yang layak.

Bersatu juga akan mendesak kerajaan persekutuan menyiapkan Projek Perumahan Felda Generasi Baharu di Negeri Sembilan yang menurutnya telah lama terbengkalai, selain mempercepatkan pembinaan hospital baharu di Bandar Enstek.

Bersatu bertanding di 24 kerusi atas lambang sendiri walaupun kekal sebagai anggota Perikatan Nasional (PN).

Author: admin