Bekas menteri Idris Jala hidap kanser

IDRIS JALA
Bekas menteri Idris Jala membina reputasinya sebagai ‘pakar pemulihan’ dalam dunia korporat, khasnya ketika menjadi CEO Malaysia Airlines dari 2005 hingga 2009.

PETALING JAYA: Bekas menteri, Idris Jala, 67, disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga.

Dalam audio siar ‘Game of Impossible’ bersama anaknya, Leon Jala, Idris mendedahkan penyakit itu dikesan selepas pemeriksaan perubatan rutin susulan batuk berpanjangan dialaminya.

Beliau memaklumkan Leon akan mengacarakan audio siar itu selepas pengundurannya.

Sebalum ini, Idris membina reputasinya sebagai “pakar pemulihan” dalam dunia korporat, khasnya selepas membawa Malaysia Airlines daripada mencatat kerugian RM1.3 bilion pada 2005 kepada keuntungan RM852 juta dua tahun kemudian.

Beliau berkhidmat sebagai CEO syarikat penerbangan nasional itu dari 2005 hingga 2009.

Idris dilantik menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2009, Orang Ulu pertama yang berkhidmat sebagai menteri persekutuan di Malaysia.

Sebagai menteri, beliau mengetuai Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dari 2009 hingga 2015, menerajui Program Transformasi Negara ketika itu.

Bloomberg menyenaraikan Idris antara 10 pembuat dasar paling berpengaruh di dunia pada 2014.

Pemandu dibubarkan pada 2017. Idris kini presiden dan pengerusi firma perunding swasta, Pemandu Associates Sdn Bhd.

Author: admin