
PETALING JAYA: Seorang remaja 16 tahun antara lapan lelaki ditahan bersama 60kg dadah bernilai RM3.04 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 16 hingga 78 tahun ditahan dalam serbuan bermula 9 malam Sabtu lalu.
Menurutnya, serbuan pertama di kawasan parkir kenderaan berhampiran sebuah hotel di Johor Bahru kira-kira 9 malam Sabtu lalu membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah Perodua Bezza milik datuk kepada remaja terbabit menemui 50 peket plastik disyaki mengandungi methamphetamine seberat 60.78kg,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di IPK Johor, Johor Bahru.
Jelasnya, serbuan susulan di hotel sama membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki tempatan tanpa penemuan sebarang dadah.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati remaja itu bersama seorang warga asing berperanan sebagai penghantar dadah, seorang lagi lelaki menjadi ‘runner’ dan dua individu lain dipercayai orang kanan kepada suspek ketujuh yang membantu menguruskan operasi sindiket dadah berkenaan.
“Suspek ketujuh berusia dalam lingkungan 50-an dikenal pasti sebagai ketua sindiket, manakala suspek kelapan dipercayai perancang utama yang mengatur keseluruhan operasi,” katanya sambil menambah jumlah dadah dirampas itu dianggarkan boleh digunakan 303,900 penagih.
Katanya, sindiket itu dipercayai aktif sejak awal Mei lalu dengan menjadikan kenderaan sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Ab Rahaman berkata, hasil semakan mendapati remaja terbabit tercicir daripada persekolahan sejak Januari 2025.
Menurutnya, tiga suspek termasuk remaja itu positif methamphetamine dan semakan mendapati empat suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah.
Selain dadah, polis turut menyita aset bernilai RM100,162 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan sebuah Toyota Camry, Proton Saga serta pelbagai barang kemas, dengan keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan berjumlah RM3.14 juta.
Beliau berkata, semua suspek direman tujuh hari hingga 25 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
