
PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat mencadangkan kuota subsidi diesel bagi kawasan luar bandar di Sabah dinaikkan daripada 200 liter kepada 500 liter sebulan, bagi menampung keperluan perjalanan jauh.
Masiung Banah (GRS-Kuamut) beritahu DUN Sabah bahawa kuota sedia ada tidak memadai bagi kawasan pedalaman kerana penduduk dan wakil rakyat perlu menempuh perjalanan selama berjam-jam untuk ke pusat bandar.
“Subsidi diesel yang dihadkan kepada 200 liter itu tidak mencukupi untuk kawasan saya. Bayangkan, daripada Kuamut ke Kota Kinabalu mengambil masa enam hingga tujuh jam pergi balik,” katanya, lapor Bernama, ketika membahaskan penggulungan Usul Penambahan Perbelanjaan Perbekalan 2026.
“Saya tiada angka berapa kilometer tetapi yang pastinya untuk pergi balik daripada Kuamut ke Kota Kinabalu, 200 liter itu sudah habis. Itu hanya pergi balik satu perjalanan, sedangkan kita hanya diberikan had 200 liter untuk satu bulan.”
Masiung berkata pelaksanaan penyasaran subsidi diesel perlu mengambil kira perbezaan keadaan antara kawasan bandar dengan luar bandar, terutama dari aspek jarak, bentuk muka bumi dan keluasan kawasan.
Beliau mahu keperluan kawasan luar bandar diberi perhatian walaupun memahami cabaran melaksanakan penstrukturan pemberian subsidi.
“Saya mohon kepada kerajaan persekutuan, dan yang pastinya saya difahamkan kerajaan negeri telahpun menubuhkan satu jawatankuasa pemantau untuk subsidi diesel ini dan juga petrol.
“Mohon kepada pihak urusetia yang telah dibentuk di pihak kerajaan negeri mengambil maklum tentang ini. Kita mohon supaya kuota ini dinaikkan daripada 200 liter kepada 500 liter untuk kawasan luar bandar,” katanya.
BUDI Diesel dilaksanakan di seluruh negara mulai 1 Julai lepas, dengan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak diberikan kuota asas 200 liter sebulan pada harga bersubsidi RM2.10 seliter.
Pemilik kenderaan utiliti sukan dan trak pikap yang memenuhi syarat boleh memohon tambahan 100 liter sebulan.
