
JEMPOL: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil, meminta bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya tidak mewujudkan persepsi seolah-olah gabungan itu tidak mempunyai pemimpin yang mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam.
Fahmi berkata PH mempunyai ramai pemimpin Melayu dan Islam termasuk beliau sendiri yang sangat peka dan sensitif tentang pelbagai perkara berkait Melayu dan Islam.
“Anwar Ibrahim (presiden PKR) itu bukan Melayu Islam? Muhammad Sabu (presiden Amanah) bukan Melayu Islam? Dzulkefly Ahmad (pemimpin Amanah), Amiruddin Sha’ri (naib presiden PKR), Aminuddin Harun (naib presiden PKR) adakah mereka bukan Melayu Islam?
“Saya rasa hentikanlah bermain kepalsuan ini. Jadi pesanan saya kepada saudara Khairy berpada-padalah. Jangan sampai ada sikap yang seolah-olah menidakkan adanya Melayu-Islam dalam PH hingga timbul persepsi buruk,” katanya di satu program di Felda Palong 2.
Beliau mengulas kenyataan Khairy bahawa sebahagian ahli Umno merasakan kerajaan persekutuan kurang peka terhadap sensitiviti orang Melayu selain gagal menunaikan beberapa janji yang dibuat sebelum ini.
Khairy yang baru kembali semula dalam Umno juga berkata Barisan Nasional (BN) memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan sebagai isyarat kepada PH.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata beliau juga sangat peka dan sensitif tentang perkara melibatkan Melayu dan Islam kerana beliau lahir daripada keluarga yang menyokong Umno sebelum ini.
“Arwah datuk dan nenek saya orang Umno. Arwah nenek saya orang kuat Umno dan kuat memperjuangkan nasib orang Melayu dan orang Islam. Takkan saya tinggalkan perkara seperti itu.
“Sebagai seorang Melayu, saya sendiri sangat peka dan sensitif tentang pelbagai perkara berkait Melayu dan Islam. Bukan Khairy seorang sehaja yang tahu pasal isu Melayu,” katanya.
