
SEREMBAN: J Arul Kumar daripada DAP yakin Pakatan Harapan mampu mempertahankan DUN Nilai pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos ini tanpa sokongan Barisan Nasional, menyatakan PH sudah membuktikan mampu memenangi kerusi itu bersendirian sebelum kedua-dua parti menjadi sekutu.
Arul mendakwa, pada PRU 2022 PH memperoleh hampir 10,000 undi daripada daerah mengundi dalam kawasan Nilai, sekali gus membantu Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, mempertahankan kerusi Parlimen Seremban.
“Jika dilihat semula, kita bersama BN hanya pada pilihan raya negeri 2023, apabila kita menang dengan majoriti lebih 10,900 undi.
“Tetapi, tujuh bulan sebelumnya semasa pilihan raya umum, jika dilihat kepada kerusi DUN Nilai sahaja, kita menang hampir 10,000 undi. Ketika itu, kita tiada sokongan BN. Ia pertandingan tiga penjuru (di Seremban),” katanya kepada FMT.
Nilai adalah kerusi campuran dengan Melayu membentuk 46.4% daripada keseluruhan pengundi, diikuti Cina (30%) dan India (20.8%). Ia berada dalam kawasan Parlimen Seremban yang diwakili Loke sejak 2013.
Kerusi itu dimenangi PH-DAP sejak 2008 selepas dirampas daripada BN-MCA.
Arul, yang menjadi Adun Nilai sejak 2013, mempertahankan kerusi itu pada PRN 2023 dengan majoriti 10,889 undi dalam pertandingan satu lawan satu menentang Perikatan Nasional, ketika PH dan BN bertanding sebagai sekutu.
Kali ini, BN bekerjasama dengan PN diterajui PAS, manakala PH bertanding semua 36 DUN secara solo. Bersatu pula bertanding di 24 kerusi menggunakan logo sendiri.
Perubahan itu menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan Arul berdepan calon BN Lai Chien Kong, V Saravan Kumar (Bersatu), Zamani Ibrahim (Berjasa) dan calon bebas Omar Isa.
Arul mengakui pertandingan kali ini lebih sengit, sambil berkata naratif berasaskan kaum sepanjang kempen mungkin menjejaskan jumlah majoriti kemenangannya.
Katanya, isu berasaskan kaum kekal sebagai cabaran terbesar dalam pilihan raya kali ini, namun percaya pengundi akan menilai PH berdasarkan rekod pentadbirannya, bukan faktor etnik.
Beliau turut berkata, rekod perkhidmatannya wajar menjadi pertimbangan untuk diberikan satu lagi penggal, dengan menyenaraikan penambahbaikan infrastruktur, hubungan jalan raya dan mitigasi banjir sebagai antara pencapaian terbesar sepanjang tiga penggal berkhidmat.
Antara projek dilaksanakan termasuk penambahbaikan sistem perparitan di pekan Nilai, naik taraf kolam takungan bernilai RM3.9 juta serta projek mitigasi banjir Sungai Batang Labu bagi menangani masalah banjir berpanjangan di kawasan berkenaan.
Ditanya mengenai kemerosotan prestasi DAP dalam PRN Sabah dan Johor baru-baru ini, Arul berkata keadaan di Negeri Sembilan berbeza kerana PH adalah kerajaan sedia ada yang berusaha mempertahankan rekod pentadbiran, bukannya mencabar kerajaan.
“Johor ada faktor tersendiri. Sabah juga mempunyai sentimen tersendiri. Negeri Sembilan berbeza kerana kita adalah kerajaan.
“Kita telah bawa pembangunan kepada Nilai, Seremban dan seluruh Negeri Sembilan. Prestasi negeri lebih baik berbanding pentadbiran BN sebelum ini, sama ada dari segi kutipan hasil, rizab tunai, inisiatif untuk rakyat, pelaburan mahupun peluang pekerjaan,” katanya.
