Tiada cadangan laksana cukai kekayaan ketika ini, kata MoF

mof
Kementerian Kewangan berkata kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan tidak signifikan, jika elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan cukai lain sedia ada. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang melaksanakan cukai kekayaan 2% ke atas individu kaya-raya ketika ini bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Buat masa ini, jelasnya, kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan tidak signifikan, jika elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan cukai lain sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek, termasuk asas kenaan cukai kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian dilaksanakan berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Pada masa sama, MoF berkata, pendekatan lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

Author: admin