Kerajaan teliti keluhan rakyat Sabah, Sarawak berkait subsidi bahan api

Anwar Ibrahim berbincang dengan Mustapha Sakmud berkait cabaran pelaksanaan penyasaran subsidi petrol dan diesel di Sabah serta Sarawak. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengambil kira maklum balas rakyat Sabah dan Sarawak menambah baik pelaksanaan penyasaran subsidi petrol dan diesel, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud.

Beliau berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri mendengar pandangan rakyat di peringkat akar umbi mengenai cabaran pelaksanaan BUDI Diesel, khususnya di Sabah.

“Perbincangan antara pemegang taruh dan agensi negeri dan persekutuan akan diteruskan supaya inisiatif penyasaran subsidi bahan api, petrol dan diesel, dapat dioptimumkan tanpa menjejaskan kualiti kehidupan rakyat, terutama di kawasan pedalaman,” katanya di Facebook.

BUDI Diesel dilaksanakan di seluruh negara mulai 1 Julai lalu, dengan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak diberikan kuota asas 200 liter sebulan pada harga bersubsidi RM2.10 seliter.

Pemilik kenderaan utiliti sukan (SUV) dan trak pikap yang memenuhi syarat pula boleh memohon tambahan 100 liter sebulan.

Pelaksanaannya menimbulkan kebimbangan di Sabah kerana ramai penduduk, terutama di kawasan pedalaman, bergantung kepada kenderaan diesel untuk perjalanan jauh, kegiatan pertanian dan urusan harian.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kerajaan negeri sedang mengadakan libat urus dengan Kementerian Kewangan dan agensi persekutuan bagi memperhalus mekanisme pelaksanaan subsidi diesel bersasar.

Menurutnya, langkah itu bertujuan menangani masalah dihadapi pelbagai pihak susulan peluasan program berkenaan ke Sabah pada 1 Julai.

Selain diesel, kerajaan turut melaksanakan subsidi bersasar petrol RON95 menerusi BUDI95 bagi memastikan bantuan bahan api dinikmati golongan yang layak.

Author: admin