Binance masih tak boleh operasi di Malaysia

Binance ialah bursa mata wang kripto terbesar di dunia yang beroperasi di negara-negara seperti Australia, Kemboja, India, Indonesia, Jepun, New Zealand, Filipina, Taiwan dan Vietnam. (Gambar Unsplash)

PETALING JAYA: Syarikat gergasi mata wang kripto dan rantaian blok Binance masih tidak dibenarkan menjalankan aktiviti pasaran modal di Malaysia, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan Binance daripada Senarai Amaran Pelabur pada 2024 kerana syarikat itu tidak lagi menjalankan aktiviti yang dikawal selia di Malaysia.

Bagaimanapun, laman web dan aplikasi Binance kekal disekat daripada diakses oleh pengguna di Malaysia, katanya.

“SC akan terus memantau perkembangan dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau risiko baharu kepada pelabur tempatan.

“Namun demikian, Binance pada masa ini tidak dilesenkan mahupun didaftarkan dengan SC untuk menjalankan aktiviti pasaran modal di Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Beliau menjawab soalan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng (PH-Bagan), yang bertanya sama ada SC merancang mengeluarkan lesen kepada Binance untuk beroperasi di Malaysia.

Anwar berkata, SC bersedia mengadakan libat urus dengan pemain global yang berminat untuk menyertai dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

“Mana-mana pihak yang ingin menjalankan aktiviti terkawal di Malaysia dikehendaki memperoleh lesen atau berdaftar dengan SC di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

“Setiap permohonan rasmi akan tertakluk kepada proses penilaian yang sewajarnya bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan kawal selia SC,” tambahnya.

Binance ialah bursa mata wang kripto terbesar di dunia yang beroperasi di negara-negara seperti Australia, Kemboja, India, Indonesia, Jepun, New Zealand, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Syarikat itu kini dalam perbincangan untuk beroperasi di Kesatuan Eropah dan turut merancang untuk terus berkembang di Asia, lapor Reuters.

Binance dimasukkan ke dalam Senarai Amaran Pelabur SC pada Julai 2020 sebelum suruhanjaya itu secara rasmi menyekat akses ke laman web dan aplikasi syarikat berkenaan setahun kemudian selepas ia terus beroperasi secara haram.

Author: admin