
PETALING JAYA: Ahli perniagaan muflis, Sofia Rini Buyong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas satu pertuduhan memfitnah ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Sofia Rini, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Dia didakwa memfitnah Farhash dengan berkata “ahli perniagaan itu kini seorang warganegara Turki telah mencuri wang dan menghantarnya ke luar negara seperti Turki dan Afrika” menerusi rakaman video di ibu negara pada 6.30 petang 26 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fadhly Zamry mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Tetapi, peguam Shugan Raman memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya menghidap penyakit darah tinggi dan diabetis, selain menanggung seorang anak dan tinggal bersama ibunya sejak kematian suaminya tahun lalu.
“Dia juga telah bankrap dan kini tiada pekerjaan tetap, selain berada di bawah jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebanyak RM10,000. Jumlah jaminan dicadangkan pihak pendakwaan berada di luar kemampuan kewangannya,” katanya menurut Sinar Harian.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 Ogos ini.
