Inkues Zara: Koroner tak benar pakar tak berdaftar terus beri keterangan

zara qairina
Inkues kematian remaja Zara Qairina Mahathir akan bersambung esok. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pakar psikologi klinikal kanak-kanak Dr Noor Aishah Rosli, yang juga saksi ke-76 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir, tidak lagi dibenarkan meneruskan keterangannya.

Koroner Amir Shah Amir Hassan membuat keputusan sedemikian selepas mendengar hujahan daripada semua pihak serta meneliti keseluruhan keterangan yang telah dikemukakan dalam inkues itu, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, Noor Aishah sebagai saksi pakar mengaku beliau tidak berdaftar di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774), walaupun layak dari segi akademik dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang psikologi serta kaunseling.

Amir Shah hari ini berkata, walaupun bantahan pegawai pengendali diterima sebahagiannya, namun ia tidak bermaksud mahkamah menafikan atau mempertikaikan pengetahuan akademik dan pengalaman Noor Aishah.

“Dengan penuh hormat dan tanpa menjejaskan kepakaran akademik atau pengalaman empirikal beliau, (Noor Aishah) tidak dibenarkan untuk terus memberikan pendapat pakar dalam inkues ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam menyelesaikan isu itu, mahkamah perlu melihat kepada dua peruntukan undang-undang yang berkaitan, iaitu Seksyen 45 Akta Keterangan 1950 dan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016.

Menurutnya, Seksyen 45 Akta Keterangan 1950 merupakan peruntukan umum yang membolehkan pendapat pakar dipertimbangkan berdasarkan kemahiran khusus seseorang, manakala Akta 774 ialah undang-undang khusus yang diwujudkan untuk mengawal standard dan amalan profesion tertentu.

“Seksyen 45 Akta Keterangan 1950 ialah peruntukan umum yang membolehkan pendapat pakar dipertimbangkan jika seseorang saksi mempunyai kemahiran khusus.

“(Manakala) Akta 774 ialah undang-undang khusus yang diwujudkan oleh Parlimen untuk mengawal standard profesion dan melarang seseorang menjalankan profesion tertentu tanpa kebenaran.

“Mengikut prinsip undang-undang yang telah ditetapkan, undang-undang khusus mengatasi undang-undang umum,” katanya.

Berdasarkan pertimbangan itu, katanya, Noor Aishah tidak boleh dibenarkan untuk terus berfungsi sebagai saksi pakar dalam prosiding itu,

“Membenarkan beliau untuk terus memberikan keterangan di kandang saksi akan menyebabkan keaiban serius kepada pentadbiran keadilan, kerana ia akan kelihatan seolah-olah membenarkan ketidakpatuhan yang disengajakan terhadap larangan perundangan yang ketat,” katanya.

Bagaimanapun, Amir Shah berkata, terdapat persoalan berasingan berhubung keterangan yang telah diberikan oleh Noor Aishah sebelum keputusan itu dibuat, termasuk keterangan lisan dan laporan ekshibit yang dikemukakan sepanjang prosiding.

Katanya, tiada peruntukan jelas di bawah Akta 774 yang menghalang mahkamah daripada menerima keterangan yang telah diberikan Noor Aishah sebelum ini.

Inkues ditangguhkan dan akan bersambung pada 9 pagi esok dengan mendengar keterangan saksi ke-75 sebelum ini.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas dia ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.

Author: admin