MRL hormati proses mahkamah, tidak ulas saman penduduk

Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak
Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak yang kini berada dalam peringkat akhir pembinaan akan menjadi pintu masuk utama ke ibu negara. (Gambar MRL)

PETALING JAYA: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata pihaknya menghormati proses mahkamah dan tidak akan mengulas dakwaan berhubung keselamatan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berhampiran Taman Mutiara Gombak 2.

MRL, yang juga pemilik projek ECRL, berkata perkara itu sudah difailkan di mahkamah dan akan melalui proses perundangan sewajarnya.

“MRL akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mahkamah serta semua pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Syarikat itu berkata pihaknya mengambil maklum kebimbangan dibangkitkan penduduk mengenai aspek keselamatan pembinaan berhampiran kawasan kediaman mereka.

Menurutnya, setiap aduan dan kebimbangan orang ramai dipandang serius, manakala keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan projek ECRL.

MRL berkata kerja pembinaan diteruskan selaras dengan kelulusan, spesifikasi teknikal, keperluan kawal selia dan piawaian keselamatan ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.

Syarikat itu juga kekal komited menyiapkan projek ECRL mengikut jadual dengan mengutamakan keselamatan, kualiti dan kepentingan awam.

Kenyataan MRL itu menyusul tindakan seorang pemilik rumah di Taman Mutiara Gombak 2 yang memfailkan saman menuntut lebih RM1.3 juta terhadap MRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd dan Majlis Perbandaran Selayang.

Plaintif mendakwa kerja pembinaan berhampiran kediamannya menyebabkan kerosakan struktur serta menjejaskan keselamatan dan nilai hartanahnya.

Author: admin