PAS takkan jaringkan gol sendiri, Fadhli beritahu Zahid

Ahmad Fadhli Shaari
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata parti itu tidak akan sesekali bergabung dengan pasukan lawan untuk ‘menjaringkan gol sendiri’.

PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyindir Pengerusi Barisan Nasional (BN), Zahid Hamidi yang mengkritik parti itu menukar “tiang gol”.

Zahid hari ini dilaporkan berkata, BN tidak mempunyai sebarang kerjasama yang dimuktamadkan dengan PAS bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

Katanya, BN mengambil pendekatan tidak terlalu yakin dengan kenyataan pemimpin PAS kerana pendirian parti itu boleh berubah mengikut perkembangan politik.

Fadhli berkata, walaupun strategi politik PAS mungkin memerlukan fleksibiliti, matlamat parti itu tidak akan berubah.

“PAS tetap akan berusaha menjaringkan gol di gawang lawan dan tidak akan sama sekali jaringkan gol sendiri. Dalam proses jaringkan gol itulah, strategi, pemain bahkan jurulatih sekalipun sentiasa perlu ditukar ganti jika perlu.

“Jangan bimbang, selagi 90 minit belum berakhir, matlamat jaringkan gol ke gawang lawan tetap berjalan. Pasukan PAS tidak akan bergabung dengan pasukan lawan jaringkan gol sendiri,” katanya dalam catatan Facebook.

Tegasnya, PRN Negeri Sembilan pada bulan depan akan membuktikan PAS “mengotakan janji ini”.

Zahid mengulas kenyataan Presiden PAS, Hadi Awang semalam bahawa PAS pada dasarnya bersetuju BN mempertahankan 14 kerusi dimenanginya pada PRN 2023, manakala parti itu kekal bertanding di tiga kerusi disandangnya, iaitu Bagan Pinang, Serting dan Paroi.

Pakatan Harapan dan BN akan bertanding di semua 36 kerusi pada 1 Ogos ini. PH memenangi 17 kerusi, BN (14) dan PN (lima) pada PRN 2023.

Author: admin