Malaysia tak bergantung mana-mana blok kuasa untuk keperluan pertahanan

khaled
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata beberapa prinsip utama menjadi panduan dalam keputusan perolehan, termasuk kepelbagaian sumber untuk memastikan ATM tidak bergantung kepada satu negara atau pembekal saja. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Strategi perolehan pertahanan Malaysia tidak bergantung kepada mana-mana blok kuasa atau pembekal tunggal, dengan kerajaan mengamalkan pendekatan kepelbagaian untuk melindungi kepentingan keselamatan negara dalam persekitaran geopolitik semakin mencabar.

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata pendekatan ini selaras dasar luar Malaysia yang berkecuali dan tidak berpihak.

Jelasnya, setiap keputusan perolehan pertahanan dibuat berpandukan beberapa prinsip utama, termasuk mempelbagaikan sumber untuk memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak bergantung kepada satu negara atau pembekal saja.

Jelasnya, kerajaan turut mengutamakan perolehan kerajaan-ke-kerajaan (G2G) bagi mengukuhkan jaminan rantaian bekalan, meningkatkan akauntabiliti dan mengurangkan risiko gangguan atau pembatalan kontrak sepihak.

Pertimbangan utama lain ialah memelihara kebebasan operasi ATM dengan memastikan aset yang diperoleh tidak tertakluk kepada syarat atau sekatan yang boleh menjejaskan keupayaan ATM mempertahankan negara.

“Kementerian turut memperkukuh proses penilaian risiko bagi setiap perolehan utama dengan mengambil kira faktor kestabilan geopolitik, sekatan eksport, kelangsungan sokongan logistik dan rantaian bekalan sepanjang kitaran hayat aset.

“Pendekatan ini membolehkan keputusan perolehan dibuat dengan lebih berhemah dan berdaya tahan,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, kerajaan akan terus memperkukuhkan Dasar Industri Pertahanan Negara melalui pemindahan teknologi, pembangunan industri pertahanan tempatan dan peningkatan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih dalam negara.

“Langkah ini akan mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar serta memperkukuh kemandirian pertahanan negara.”

Beliau menjawab soalan bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berhubung langkah mempelbagaikan sumber perolehan pertahanan dan mengurangkan kebergantungan kepada blok kuasa tertentu.

Minggu lalu, Kementerian Pertahanan diarah menghentikan serta-merta semua perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway selepas Jemaah Menteri membincangkan tindakan Oslo membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal (NSM) dan sistem pelancarnya.

Mei lalu, kerajaan Norway membatalkan lesen eksport NSM yang ditempah Malaysia di bawah kontrak 2018 atas alasan eksport teknologi pertahanannya dihadkan kepada “sekutu dan rakan kongsi terdekatnya”, termasuk anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Pembatalan itu menyebabkan program kapal tempur pesisir Tentera Laut Diraja Malaysia tidak dilengkapi sistem peluru berpandu permukaan-ke-permukaan yang penting, walaupun kontrak NSM dimeterai pada April 2018.

Author: admin