Presiden Singapura tiba untuk lawatan 3 hari

Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam, diberikan istiadat kawalan kehormatan statik di Kompleks Bunga Raya apabila mendarat di Malaysia. (Gambar Bernama)

SEPANG: Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam, tiba di Malaysia malam tadi bagi memulakan lawatan negara selama tiga hari, bermula 13 hingga 15 Julai, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Pesawat membawa Tharman bersama isteri, Jane Ittogi Shanmugaratnam, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 9.19 malam.

Beliau diberikan istiadat kawalan kehormatan statik di Kompleks Bunga Raya, daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

Turut menyambut ketibaan presiden Singapura ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, selaku menteri pengiring, dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.

Ini lawatan negara pertama Tharman ke Malaysia sejak memegang jawatan presiden Singapura kesembilan pada 14 Sept 2023.

Lawatan ini menzahirkan hubungan erat antara kedua-dua negara, mencerminkan kerjasama yang semakin kukuh dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

Menurut Wisma Putra, Tharman dijadualkan diberikan Istiadat Sambutan Negara sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.

Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di dunia dan rakan dagang terbesar dalam kalangan negara anggota Asean.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Singapura mencecah RM402.35 bilion (USD93.97 bilion) pada 2025, meningkat 1.5% berbanding 2024.

Dari Januari hingga Mei 2026, jumlah perdagangan dua hala meningkat 14.5% peratus kepada RM189.90 bilion (USD47.87 bilion), berbanding RM165.93 bilion (USD37.65 bilion) dicatatkan dalam tempoh sama pada 2025.

Author: admin