
PETALING JAYA: Umno tidak sepatutnya menganggap kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor bermakna ‘jenama’ gabungan itu sudah kembali diterima rakyat, kata Ahli Parlimen PAS Syahir Sulaiman.
Ahli Parlimen Bachok itu berkata, peralihan undi kepada BN dilihat lebih bersifat sementara, sebahagiannya didorong oleh tindakan pengundi menolak Pakatan Harapan (PH) serta kegagalan Perikatan Nasional (PN) menampilkan diri sebagai alternatif yang diyakini.
“Umno tersilap jika menganggap ‘jenama’ BN sudah kembali diterima oleh rakyat.
“Peralihan undi kepada BN di Johor lebih bersifat sementara, kerana rakyat mahu menolak DAP-PH, sedangkan PN tidak berjaya memposisikan diri sebagai alternatif,” katanya di Facebook.
Syahir turut menjelaskan bahawa PAS telah menyeru ahli dan penyokongnya supaya mengundi BN, namun hanya di kerusi yang tidak ditandingi PN.
Beliau berkata, BN juga mendapat manfaat daripada meletakkan Onn Hafiz Ghazi sebagai ‘poster boy’, dengan menyifatkannya sebagai seorang pemimpin yang rendah diri, bersih dan popular di mata pengundi Johor.
“Persoalannya ialah sama ada BN mampu menawarkan pakej yang sama di peringkat Persekutuan pada pilihan raya umum akan datang (PRU16).”
Syahir mengakui keputusan itu memberikan BN kuasa tawar-menawar yang lebih besar menjelang PRU16, namun berkata gabungan itu masih perlu membuktikan bahawa sokongannya bukan hanya terhad di Johor.
BN memenangi 48 kerusi dalam PRN Johor ke-16, manakala PH memperoleh baki lapan kerusi. PN gagal memenangi sebarang kerusi selepas kehilangan tiga kerusi yang dimenanginya pada 2022.
