Bos Volkswagen pilih ‘penyelesaian lebih bijak’ daripada tutup kilang

Empat kilang kumpulan itu di Jerman berdepan ancaman penutupan, termasuk sebuah kilang dikendalikan Audi, anak syarikat VW. (Gambar EPA Images)

BERLIN: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Volkswagen, Oliver Blume percaya pengeluar kereta itu mampu mengelakkan penutupan kilang dengan meneruskan untuk mengurangkan kos, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Terdapat penyelesaian lebih bijak daripada menutup kilang,” kata Blume dalam temu bual bersama akhbar Bild am Sonntag yang diterbitkan pada Ahad.

Menurutnya, program pengurangan kos di tapak pengeluaran Volkswagen di Jerman sudah membuahkan hasil.

“Kami berjaya mengurangkan kos kilang kami di Jerman sebanyak purata 20% pada tahun lepas sahaja. Itu merupakan kemajuan ketara.”

Kenyataan Blume itu menyusul selepas mesyuarat lembaga penyeliaan pada Khamis, menyaksikan beliau dilaporkan gagal memperoleh kelulusan bagi pakej pengurangan kos lebih menyeluruh.

Menurut laporan akhbar, Süddeutsche Zeitung yang memetik sumber dalam kumpulan itu, wakil tenaga kerja dan negeri Lower Saxony di Jerman mengundi menentang pakej berkenaan.

Butiran pakej yang ditolak itu setakat ini hanya diperoleh melalui laporan media.

Menurut Manager Magazin, sehingga 100,000 pekerjaan boleh dikurangkan di seluruh dunia — dua kali ganda berbanding jumlah dirancang sebelum ini.

Sementara itu, Bild melaporkan angka itu boleh mencecah sehingga 120,000 pekerjaan.

Empat daripada kilang kumpulan itu di Jerman turut berdepan ancaman penutupan, termasuk sebuah kilang yang dikendalikan Audi, anak syarikat VW.

Author: admin