
PETALING JAYA: Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang membentuk ‘blok progresif’ di PRN Johor terus gagal mendapatkan sokongan apabila tewas di semua kerusi yang ditandingi.
Kedua-dua parti itu turut gagal memenangi sebarang kerusi dalam PRN enam negeri pada 2023 apabila bertanding tanpa kerjasama dengan mana-mana gabungan politik utama.
Bagi Muda, keputusan ini merosot berbanding PRN Johor 2022 apabila menang satu daripada tujuh kerusi ditandingi menerusi bekas setiausaha agungnya, Amira Aisya Abdul Aziz, di Puteri Wangsa.
Muda yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), berjaya menewaskan calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pejuang dan Parti Bangsa Malaysia dengan majoriti 7,114 undi di DUN tersebut.
Amira yang kini presiden Muda, memilih untuk tidak mempertahankan Puteri Wangsa kerana mahu memberi tumpuan kepada persediaan bertanding di kerusi Parlimen pada PRU16.
Sementara itu, pengasas dan satu-satunya Ahli Parlimen Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, turut tidak turun berkempen bagi membantu parti selepas Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan kes rasuah yang dihadapinya.
Ketiadaan Syed Saddiq sepanjang tempoh kempen dilihat memberi kesan besar kepada Muda dan mencetuskan persoalan mengenai kesinambungan parti tanpa bekas menteri belia dan sukan itu sebagai tokoh utamanya.
Setiausaha Agung Muda, Ainie Haziqah Shafii, tewas di Simpang Jeram, manakala Amir Jack tewas di Maharani, Rashifa Aljunied kalah di Puteri Wangsa dan M Premanand tewas di Bukit Batu.
Semua calon Muda itu turut hilang wang deposit.
Nasib yang sama menimpa calon PSM, Amir Syafiq Ameer Soekre, yang gagal memberi saingan di kerusi Skudai.
Keputusan ini sudah pasti menyebabkan Muda dan PSM terpaksa menilai semula strategi pilihan raya mereka, termasuk mempertimbangkan dengan lebih serius kerjasama dengan gabungan politik yang lebih besar menjelang pilihan raya akan datang, termasuk PRU16.
