Muhyiddin harap peratusan mengundi lebih 70%

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bersama isteri Noorainee Abdul Rahman ketika mengundi di SMK Sri Muar di Muar pagi tadi.

MUAR: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berharap 70% pengundi di Johor menunaikan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya hari ini walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu sejak awal pagi.

Ketika ditemui selepas mengundi di SMK Sri Muar, bekas perdana menteri itu berkata hujan lebat sejak awal pagi mungkin beri sedikit kesan kepada kehadiran pengundi, namun beliau yakin semangat rakyat kekal tinggi.

“Saya lihat semangat rakyat, semalam pun trafik sesak. Ramai yang balik dari Kuala Lumpur untuk mengundi.

“Jadi pada pandangan saya, walaupun hujan, saya harap peratusan keluar mengundi agak tinggi, tidak kurang daripada 70%. Itu harapan saya,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh tiba di pusat pengundian kira-kira 10 pagi bersama isterinya, Noorainee Abdul Rahman, sebelum memasuki saluran satu untuk mengundi.

Beliau juga turut menggesa penggundi yang masih belum keluar mengundi supaya berbuat demikian walaupun keadaan cuaca kurang mengizinkan.

“Walaupun hujan dan basah sedikit, yang penting kita kena mengundi. Saya menyeru kepada semua yang masih belum keluar pagi ini supaya segera keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada calon pilihan masing-masing.

“Saya sudah selesai menunaikan tanggungjawab saya sebagai pengundi di sini. Walaupun hujan, basah sikit. Yang penting pilihan raya ini, kita kena mengundi,” katanya.

SMK Sri Muar antara pusat pengundian bagi DUN Maharani yang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Muda.

Anuar Hayan, calon penyandang mewakili PN, berdepan Ashari Md Sarip (BN), Amir Jack (Muda) dan Taqiuddin Cheman (PH).

Author: admin