Rosmah kecam Nga muat naik poster AI

Rosmah Mansor menuduh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyebarkan kandungan palsu dengan berkongsi poster AI menjelang PRN Johor.

PETALING JAYA: Rosmah Mansor menggesa tindakan diambil terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana memuat naik poster yang memaparkan imej beliau yang dikaitkan dengan PRN Johor

Poster dikongsi Nga di platform X itu memaparkan imej Rosmah yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI), bersama ayat: Amaran untuk semua pengundi luar PRN Johor! “If you don’t come back, I’ll be back”.

Isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu dalam satu hantaran di Facebook berkata beliau mengecam keras apa yang disifatkannya sebagai ‘propaganda pilihan raya murahan’ yang menggunakan imejnya.

Beliau turut menggesa Kementerian Komunikasi mengambil tindakan terhadap Nga.

Katanya, jika rakyat biasa boleh disiasat kerana menyebarkan kandungan palsu, sudah pasti menteri DAP juga tidak boleh terlepas daripada undang-undang.

“Beliau seorang menteri. Beliau sepatutnya berkelakuan seperti seorang menteri, bukannya menyebarkan bahan palsu dan mengelirukan seperti seorang tentera siber parti yang terdesak.

“Saya tidak akan berdiam diri. Politik tetap politik. Tetapi menggunakan imej orang lain untuk menyebarkan pembohongan adalah tindakan yang pengecut, kotor dan terdesak,” katanya.

Author: admin