
PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul menasihatkan semua Ahli Parlimen mengambil serius pemeriksaan kesihatan berkala susulan seorang wakil rakyat semalam dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami masalah kesihatan.
Johari berkata pemeriksaan kesihatan mampu mengesan masalah kesihatan pada peringkat awal sebelum menjadi lebih serius, sekali gus membolehkan rawatan, pengambilan ubat atau intervensi perubatan dilaksanakan dengan segera.
“Yang Berhormat, sila ambil perhatian dan serius tentang ini. Semalam juga kita mempunyai seorang Ahli Parlimen yang mengalami (masalah) kesihatan yang serius dan kini beliau berada di IJN.
“Pemeriksaan kesihatan ini sangat membantu dalam mengesan sebarang isu berkaitan kesihatan di peringkat awal dan seterusnya membolehkan langkah-langkah pencegahan serta proaktif dilakukan segera,” katanya sebelum sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Johari berkata program pemeriksaan kesihatan Ahli Parlimen akan diteruskan tahun ini dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), selepas dilaksanakan secara berterusan sejak 2023 dan kini memasuki tahun keempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan sepanjang pelaksanaan program itu, selain berterima kasih kepada KKM atas komitmen dan kerjasama menjayakannya.
Semalam, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim dimasukkan ke IJN selepas mengalami masalah kesihatan ketika di Dewan Rakyat.
Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu memaklumkan Amzad mengikuti sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) serta dijadualkan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2024.
Menurut kenyataan itu, beliau mengalami pening dan hampir pitam sebelum dibawa ke Klinik Parlimen untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan awal.
