
PETALING JAYA: Jemaah Menteri bersetuju meminda Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan bagi membolehkan Dewan Rakyat meneliti calon pendakwa raya melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum pelantikan rasmi dibuat.
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), berkata keputusan itu dibuat mengambil kira maklum balas Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, pakar perundangan, serta pertubuhan masyarakat sivil.
“Pindaan ini mengambil kira cadangan supaya nama calon dikemukakan kepada speaker Dewan Rakyat untuk dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut agensi itu, Dewan Rakyat akan mengemukakan syor kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) selepas penelitian dibuat oleh jawatankuasa pilihan.
“SPKP seterusnya akan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan pendakwa raya berdasarkan syor daripada jawatankuasa pilihan berkenaan,” katanya sambil menambah ia dijadual dibentangkan untuk perbahasan di Dewan Rakyat, pada 13 Julai.
Mengulas lanjut, BHEUU JPM berkata keputusan meminda Fasal (18) Perkara 145A dilakukan demi memperkukuh keseimbangan antara kebebasan pendakwa raya dan akauntabiliti institusi.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, dilaporkan berkata pindaan RUU berkenaan tersebut akan memberi Parlimen peranan jauh lebih besar dalam proses berkenaan.
Beliau menegaskan, pelantikan pendakwa raya akan dibuat Yang di-Pertuan Agong atas nasihat SPKP tanpa penglibatan perdana menteri atau Jemaah Menteri.
Selain itu, jawatankuasa itu turut mencadangkan pendakwa raya dilantik bagi tempoh tetap tujuh tahun tanpa pelantikan semula dan diwajibkan mengemukakan laporan tahunan kepada Parlimen serta tertakluk kepada kod etika khusus.
