
PETALING JAYA: Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) menyeru pengundi Cina di Johor dan Negeri Sembilan menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN.
Presiden Huazong, Lim Kah Chuan, berkata pengundi Cina patut sedar pengaruh besar dimiliki mereka dalam pilihan raya, memandangkan masyarakat Cina merupakan kumpulan etnik kedua terbesar negara, lapor China Press.
Lim berkata, peratusan keluar mengundi lebih tinggi dalam kalangan pengundi Cina akan menggambarkan sentimen politik keseluruhan dan hala tuju pilihan komuniti berkenaan.
Katanya, peratusan keluar mengundi itu tanda kerajaan negeri dipilih nanti mempunyai keabsahan kukuh didukung perwakilan lebih kuat.
Lim berkata, walaupun rakyat Malaysia secara amnya berdepan ‘kelesuan politik’ susulan beberapa pilihan raya diadakan dalam tempoh singkat, orang ramai harus kekal peka terhadap perkembangan politik.
Beliau turut menggesa kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyemak semula sistem undi pos, terutamanya prosedur dan saluran bagi pengundian luar negara, demi memastikan rakyat Malaysia dapat mengundi dengan lancar, cepat, dan berkesan.
Lim mencadangkan supaya kerajaan mempertimbang untuk membenarkan kedutaan dan konsulat Malaysia di luar negara menerima kertas undi daripada pengundi luar negara, melalui prosedur undang-undang sewajarnya.
Beliau turut berpandangan undang-undang berkaitan dipinda bagi memastikan undi luar negara dikira secara adil dan telus tanpa perlu bergantung kepada penghantaran pos atau dibawa pulang sendiri dengan tangan ke Malaysia.
PRN Johor akan diadakan pada Sabtu ini, manakala PRN Negeri Sembilan pula pada 1 Ogos.
