
MARAN: Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mencadangkan sebahagian tanah yang diurus FGV Holdings Berhad (FGV) dikembalikan bawah pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata cadangan itu antara lain bagi memperkukuh kedudukan kewangan Felda.
“Saya berpandangan, sekiranya pengurusan ladang-ladang Felda distrukturkan semula dan dikendalikan Felda sendiri, proses melangsaikan hutang dapat dipercepat. Langkah ini juga diharap dapat memberikan pulangan lebih baik kepada peneroka,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Peneroka Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka.
Majlis berkenaan dirasmikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perdana menteri memaklumkan bahawa kerajaan persekutuan membelanjakan hampir RM1 bilion setahun bagi membantu Felda termasuk menjaga kebajikan peneroka dan melalui usaha itu, agensi berkenaan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya sembilan tahun untuk memulihkan kedudukan kewangan.
“Saya bersetuju dengan penegasan perdana menteri bahawa keutamaan perlu diberikan kepada kebajikan peneroka Felda, meliputi generasi pertama, kedua dan ketiga,” katanya.
Pada Ahad lepas, Anwar dilaporkan berkata kerajaan persekutuan menanggung bebanan hutang Felda yang mencecah hampir RM1 bilion setahun akibat kelemahan pengurusan pentadbiran sebelum ini.
Dalam pada itu, Zahid berkata kerajaan turut membantu Koperasi Permodalan Felda (KPF) menyusun semula beberapa aset bagi membolehkan koperasi itu membayar semula penebusan saham ahli.
Beliau berkata terdapat ahli KPF yang mahu menebus semula saham berikutan kadar dividen yang rendah susulan kelembapan pasaran saham dan hartanah dan kira-kira RM350 juta diperlukan bagi tujuan berkenaan.
“Penstrukturan ini sedang dilaksanakan, terutamanya kita nak membantu mereka yang membeli saham KPF terpaksa meminjam atau menjual hartanah mereka. Oleh sebab itu, penstrukturan yang telah dikemukakan kepada saya akan dilakukan selewat-lewatnya pada akhir tahun ini,” katanya.
