Gobind minta AG jelas kelewatan tindakan dalam kes Durian Tunggal

gobind singh deo
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, kelewatan tindakan dalam kes Durian Tunggal ‘amat diragui’, memandangkan kes tersebut telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo menggesa Peguam Negara (AG) Dusuki Mokhtar untuk menjelaskan kelewatan tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kejadian tembakan oleh polis yang mengakibatkan tiga lelaki maut di Durian Tunggal, Melaka, pada November lepas.

Beliau berkata, kelewatan itu ‘amat diragui’, memandangkan kes tersebut telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada Disember.

“Polis tidak mengklasifikasikan semula kes, terutamanya bagi kesalahan berat seperti kes bunuh, melainkan terdapat asas bukti yang kukuh untuk berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Hakikat bahawa agensi penguatkuasaan itu sendiri menentukan bahawa ambang untuk siasatan bunuh telah dipenuhi, menunjukkan terdapat keterangan yang memerlukan tindakan mahkamah segera.

Gobind berkata demikian selepas dua peguam yang mewakili keluarga ketiga-tiga lelaki itu mengulangi gesaan agar pegawai polis yang terlibat dalam kes itu disiasat dan didakwa atas kesalahan membunuh jika terdapat keterangan mencukupi.

Dalam kenyataan bersama awal hari ini, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh turut menggesa sebuah badan bebas ditubuhkan untuk menyiasat kejadian tembakan tersebut, menyatakan bahawa polis tidak boleh menyiasat diri sendiri.

Dalam kejadian pada 24 Nov itu, tiga lelaki berusia antara 24 dan 29 tahun mati ditembak selepas salah seorang daripada mereka didakwa menyerang seorang pegawai polis menggunakan parang.

Siasatan pada mulanya dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh. Bagaimanapun, pada Disember, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan agar kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Minggu lepas, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata dalam Parlimen bahawa AGC masih meneliti kertas siasatan kes tersebut, lebih sebulan selepas ia diserahkan semula buat kali keempat.

Gobind yang juga menteri digital berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu secara peribadi pada mesyuarat Jemaah Menteri esok.

“Sebarang kelewatan dalam pendakwaan boleh menjejaskan kualiti keterangan. Apabila masa berlalu, ingatan saksi akan pudar, bahan bukti fizikal boleh terjejas dan kelompangan dari segi prosedur akan timbul,” katanya.

“Kelewatan ini mewujudkan kelemahan yang tidak sepatutnya, yang amat memudaratkan kes. Peguam negara, selaku pemelihara keadilan, bertanggungjawab untuk bertindak dengan pantas dan tegas apabila keterangan menjurus kepada kesalahan jenayah.”

Author: admin