Fared sasar 8,000 undi Bersatu di Semerah kembali kepada BN

FARED_KHALID
Calon BN di Semerah Fared Khalid berkata pesaingnya pada PRN lalu Ariss Samsudin kembali menyertai Umno pada April dan BN akan berusaha mendapatkan 8,000 undi yang diperolehi Ariss empat tahun lalu.

PARIT SULONG: Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Semerah, Fared Khalid menyasarkan 8,000 undi yang dimenangi calon Bersatu pada PRN lalu akan kembali kepada gabungan itu pada PRN Johor Sabtu ini.

Menurutnya, jangkaan itu berdasarkan pemimpin dan ketua Bersatu di DUN Semerah serta kawasan Parit Sulong yang kembali ke pangkuan Umno menerusi inisiatif Rumah Bangsa.

“Mereka adalah ketua cawangan Bersatu dan bila ketua cawangan kembali kepada BN, maka mereka ditugaskan memujuk dan mengajak ahlinya, kami diberi keyakinan oleh rakan kita di Semerah dulu bahawa ahli Bersatu akan kembali kepada Umno-BN.

“PRN lalu, Ariss Samsudin mewakili Perikatan Nasional. Mereka dapat 8,000 undi, kita berusaha untuk 8,000 undi itu kembali kepada Umno dan BN,” katanya selepas menghadiri program bersama Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi di DUN Semerah, semalam.

April lalu, Ariss mengumumkan keluar Bersatu dan kembali ke pangkuan Umno menerusi inisiatif Rumah Bangsa.

Pada PRN 2022, Ariss bertanding atas tiket PN dan meraih 8,501 undi, tewas kepada Fared yang mendapat 12,542 undi dalam pertembungan lima penjuru.

PRN kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Fared, Khuzzan Abu Bakar yang mewakili Pakatan Harapan dan calon PN, Halim@Othman Kepol.

Author: admin