Wanita tarik Sultan Nazrin atas pentas didenda RM500

NURHASWANI AFNI
Mahkamah Majistret Ipoh Nurhaswani Afni Mohamad Zorki memerintahkan Nurhaswani Afni Mohamad Zorki dipenjara sebulan jika gagal bayar denda. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Wanita dituduh melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Ogos tahun lalu mengaku salah dengan Mahkamah Majistret Ipoh memerintahkan hukuman denda RM500.

Hukuman ke atas Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 42, dikenakan Majistret Norizan Riduan selepas tertuduh membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.

Tertuduh yang juga bekas pekerja restoran makanan segera berdepan hukuman penjara sebulan, jika gagal membayar denda berkenaan, lapor Kosmo.

Mengikut pertuduhan, Nurhaswani didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, dalam daerah Kinta pada 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon mahkamah mengenakan hukuman dengan mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kesalahan memandangkan perbuatan dilakukan terhadap Sultan Nazrin, ketika sambutan Hari Kebangsaan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang berpakaian serba hitam telah naik ke pentas acara sebelum secara tiba-tiba berlari ke arah Sultan Nazrin dan menarik baginda sehingga hampir terjatuh.

Dalam rayuannya, peguam bela, Naran Singh memaklumkan anak guamnya memohon keampunan daripada Sultan Perak atas keterlanjuran perbuatan, selain merayu hukuman ringan.

Katanya, tertuduh telah bercerai dan sebelum ini bekerja sebagai pelayan restoran dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan, namun kini tidak lagi bekerja dan dijaga oleh anak-anaknya.

“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia juga mempunyai masalah kesihatan mental iaitu skizofrenia serta pernah menerima rawatan sebelum ini,” katanya.

Beliau turut memohon mahkamah mengambil kira tempoh tahanan selama 55 hari, termasuk sepanjang tempoh reman, siasatan, tahanan, dan pemerhatian di hospital.

Pada 8 Sept tahun lalu, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan sama, namun tiada pengakuan direkodkan selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan agar tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan.

Author: admin