208 peluru dirampas dalam serbuan kes dadah

Alwi Zainal Abidin
Ketua Polis Perak Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata suspek berusia 29 tahun disyaki mengedar dadah sejak empat bulan lalu susulan rampasan MDMA dan ketamin seberat 130.94g. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sejumlah 208 peluru hidup dan beberapa objek menyerupai senjata api dirampas daripada seorang lelaki dalam serbuan berkait pengedaran dadah, di Sitiawan dekat Manjung.

Ketua Polis Perak Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata dalam operasi pada Rabu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) turut merampas dadah disyaki jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan ketamin dengan nilai keseluruhan RM6,547.

“Serbuan pertama dilakukan di kawasan Taman Terus Maju, Sitiawan apabila polis menahan sebuah kereta Proton Wira yang dipandu suspek berusia 29 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan tiga peket plastik merah mengandungi bahan disyaki dadah MDMA seberat 66.64g,” katanya menurut Bernama di ibu pejabat IPK Perak, Ipoh.

Alwi berkata, susulan itu polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Kampung Cina, Sitiawan dan menemukan 12 peket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki ketamin seberat 64.30g.

“Pemeriksaan lanjut di sebuah pondok kayu di bahagian belakang rumah berkenaan membawa kepada penemuan satu objek menyerupai pistol, tujuh laras menyerupai senapang, dua laras menyerupai busur silang, 208 butir peluru hidup serta lapan kelongsong peluru.

“Siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak empat bulan lepas dengan menjual sendiri bekalan itu kepada pengguna, malah rampasan itu dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 100 penagih.”

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin.

Polis turut menyita wang tunai RM720 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan RM7,267.

Suspek direman enam hari bermula 2 Julai hingga hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8A Akta Senjata Api 1960.

Author: admin