
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengkaji semula cadangan pindaan Akta Persaingan 2010 yang membenarkan potongan penalti sehingga 40% kepada syarikat penyeleweng.
Lim Lip Eng (PH-Kepong), berkata Seksyen 38A baharu dalam Rang Undang-undang (RUU) Persaingan (Pindaan) itu memberi ruang kepada syarikat yang disiasat mendapat pengurangan denda yang besar, jika mereka mengaku bertanggungjawab.
Menurutnya, potongan itu juga boleh ditambah dengan pengurangan lain di bawah sistem linear C, sekali gus memberi gambaran salah bahawa kesalahan persaingan boleh diselesaikan pada ‘harga murah’.
“Syarikat boleh buat salah, tunggu disiasat, kemudian mengaku, dan dapat potongan besar. Undang-undang tidak boleh memberi gambaran sedemikian.
“Maka, saya cadangkan diskaun di Malaysia dihadkan kepada maksimum 20% sahaja,” katanya di Dewan Rakyat sambil membandingkan situasi itu dengan Kesatuan Eropah (EU) yang lazimnya hanya memberikan pengurangan sekitar 10% bagi penyelesaian kes kartel.
Mengulas lanjut, Lim mempersoalkan Seksyen 43 pindaan tersebut yang membenarkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menerima akujanji daripada syarikat, termasuk pembayaran denda tanpa had maksimum yang jelas.
Beliau juga mengkritik langkah menjadikan proses pendengaran representasi lisan dijalankan secara sesi tertutup sepenuhnya menerusi pemotongan Seksyen 38, sedangkan kes kartel harga melibatkan barangan asas dan kos sara hidup rakyat.
“Rakyat berhak tahu asas keputusan MyCC. Sesi tertutup patut dibuat hanya bagi maklumat yang benar-benar sulit, manakala alasan keputusan selebihnya perlu dibuka kepada umum,” tegasnya.
Tambahnya, kuasa MyCC untuk meminta maklumat dan dokumen daripada mana-mana individu bagi tujuan kajian pasaran adalah terlalu luas.
Katanya, kegagalan mematuhi arahan itu boleh menjadi satu kesalahan, sedangkan kajian pasaran bukanlah satu siasatan jenayah.
“Kuasa meminta maklumat tidak boleh menjadi lesen untuk meminta apa sahaja daripada sesiapa sahaja. Ia mesti jelas, mempunyai tempoh munasabah, dan boleh dicabar di mahkamah jika tidak adil.”
