PSM ikrar mahu juarai nasib pekerja kontrak andai menang Skudai

PSM Skudai-Amir Syafiq Ameer Soekre- Pengerusi Dr. Michael Jeyakumar Devaraj
Amir Syafiq Ameer Soekre daripada PSM, berkata beliau mempunyai visi di mana dasar bukan sahaja akan membantu pekerja tertindas, malah menghukum majikan ingkar dengan lebih berat.

JOHOR BAHRU: Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan menggunakan DUN Johor membangkitkan nasib pekerja kontrak sekiranya calon mereka, Amir Syafiq Ameer Soekre, menang kerusi Skudai.

Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj, berkata parti itu sudah banyak mengendalikan kes pekerja kontrak di mana hak pekerjaan asas mereka sering kali dinafikan.

“Kami sedang mengendalikan banyak kes pekerja kontrak yang tidak dibayar kerja lebih masa (OT), caruman KWSP tidak dibuat, dan tidak menerima gaji minimum,” katanya kepada FMT.

“Ahli-ahli kami sudah membawa banyak kes sedemikian ke Mahkamah Perusahaan. Jika kami berada di DUN, kami akan bangkitkan isu ini,” katanya di pusat operasi PSM di Skudai.

Amir, yang menjadi calon tunggal PSM pada PRN Johor aktif terlibat advokasi hak buruh hampir 10 tahun, dengan memberi tumpuan kepada isu pekerja di negeri berkenaan.

Beliau berkata, pekerja yang hak mereka dicabuli akan terus menerima bantuan melalui saluran rasmi, termasuk mengemukakan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja.

“Namun, untuk masa depan, saya mempunyai visi di mana dasar-dasar bukan sahaja akan membantu pekerja ditindas, malah menghukum majikan ingkar dengan lebih berat,” katanya.

Amir berkata, kemampuan pemilikan rumah menjadi kebimbangan utama di Skudai, memandangkan kadar sewa yang meningkat di luar kemampuan ramai rakyat kebanyakan.

“Sewa sudah mahal. Rumah flat pun sudah RM1,000 lebih (sebulan),” katanya.

“Rakyat sudah tak mampu tanggung semua ini.”

Sebelum ini, DUN Skudai disandang Marina Ibrahim daripada DAP selama satu penggal, sebelum beliau mengumumkan persaraannya daripada arena politik.

Kerusi tersebut akan menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan Amir, Tan Hiang Kee daripada Barisan Nasional, J Kartiyaini (Pakatan Harapan), dan Eugene Chua (Bersama).

Author: admin