
MUAR: Perikatan Nasional (PN) Johor sekali lagi menegaskan gabungan itu tetap tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN.
Namun, Pengerusi Dr Sahruddin Jamal berkata gabungan itu terbuka bergabung dengan parti mempunyai ideologi sehaluan, tanpa menjelaskan sama ada kerjasama berkenaan bersama Barisan Nasional (BN).
Ketua Bersatu Johor itu menjelaskan, PN mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga keputusan PRN diumumkan bagi menentukan hala tujunya.
“Setakat ini kita tidak akan bersama PH…selepas tahu keputusan nanti kita akan tentukan.
“Jika ada kerjasama ia hanya melibatkan pihak mempunyai ideologi sama dengan kita. Itu asas,” katanya kepada FMT.
Kenyataan penyandang DUN Bukit Kepong itu berlatar belakang spekulasi bakal wujud penjajaran baharu kerjasama politik di Johor selepas PRN.
PAS, parti komponen PN baru-baru ini menyatatakan pendiriannya mempertahankan ‘kuasa politik Melayu Islam’ pada PRN Johor.
Presiden PAS, Hadi Awang, pada Isnin menyeru pengundi tidak mengundi PH termasuk di kerusi menyaksikan pertembungan dua penjuru dengan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, pula berkata parti itu meminta ahli dan penyokongnya mengundi BN di kerusi tidak ditandingi PN.
Sementara itu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dipetik berkata PN masih ada peluang bentuk kerajaan walaupun hanya bertanding 33 DUN, lebih sedikit berbanding 29 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan Johor.
Menurut timbalan pengerusi PN itu, PN juga mempunyai rakan lain boleh bersama gabungan tersebut termasuk Muda yang bertanding empat kerusi.
Dalam pada itu, Sahruddin turut mendakwa rakyat Johor memberikan sentimen positif terhadap PN yang mungkin diterjemahkan kepada kemenangan di majoriti 33 kerusi ditandinginya.
“Bersatu sasar menang sekurag-kurangnya 10 kerusi,” katanya.
Katanya, antara isu dibangkitkan rakyat sepanjang kempen adalah bekalan air, pengangkutan, infrastruktur, kos sara hidup, harga barang dan gaji belum memuaskan.
“Aduan ini di sebalik pelbagai pelaburan bernilai berbilion ringgit diumumkan,” katanya.
